Tuesday, August 7, 2012 | | By: Febi

Yeoh Tamatkan Saingan Di Tempat Ke-10 Acara 3m Papan Anjal Lelaki


LONDON, 8 Ogos (Bernama) -- Selepas hampir 10 tahun tidak beraksi di temasya sukan terbesar dunia, penerjun negara Yeoh Ken Nee menamatkan saingan akhir acara 3m papan anjal lelaki Sukan Olimpik 2012 pada kedudukan ke-10 di Pusat Akuatik, di sini pada Selasa.

Membuat penampilan keduanya pada temasya Olimpik selepas Sydney 2000, penerjun tinggi lampai berusia 29 tahun dari Kuala Lumpur itu, mengumpul keseluruhan 437.45 mata daripada enam disiplin dalam acara tersebut.

Beliau meraih 79.05, 78.20, 49.50, 79.20, 76.50 dan 75.00 untuk menduduki tempat ke-10 dalam kalangan 12 penerjun yang beraksi di peringkat akhir itu.

Penerjun Rusia, Ilya Zakharov memenangi pingat emas selepas mengutip 555.90 mata sementara dua penerjun China, Qin Kai dan He Chong, masing-masing meraih perak dan gangsa setelah mengumpul 541.75 serta 524.15 mata.

Yeoh berkata pada aksi pertamanya di Olimpik Sydney 2000, beliau terkandas di peringkat saringan.

"Saya terpaksa melupakan hasrat beraksi di Olimpik Athens 2004 untuk menumpukan perhatian terhadap pengajian saya sementara di Beijing empat tahun lepas, saya gagal layak beraksi dalam acara itu," katanya.

Yeoh, bagaimanapun berpuas hati dengan pencapaiannya itu kerana sasaran beliau ialah berada dalam kelompok 10 penerjun terbaik pada temasya tersebut.

  Daripada Zulhilmi Supaat -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment