Wednesday, August 1, 2012 | | By: Febi

Yayasan Sime Darby harap pelumba trek menyinar

KUALA LUMPUR - Yayasan Sime Darby (YSD) berharap komitmen dan sokongan yang diberikan mereka kepada pelumba basikal trek negara selama ini mampu membantu menghasilkan pingat pada Sukan Olimpik London.

Tiga pelumba basikal negara yang ditaja oleh YSD, Azizulhasni Awang, Fatehah Mustapa dan Josiah Ng kini berada di London untuk menyertai temasya sukan terbesar dunia itu.

"Kami harap komitmen dan sokongan YSD kepada ketiga-tiga pelumba ini dalam tempoh tiga tahun mampu untuk menceriakan seluruh negara dengan memenangi pingat di London," kata Pengerusi YSD, Tun Musa Hitam dalam kenyataan yang diberikan kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sebanyak RM2juta telah diperuntukkan oleh YSD bermula dari 2009 hingga sekarang untuk membantu skuad trek negara, dan hasilnya mereka berjaya gara melayakkan diri ke Olimpik.
Acara berbasikal trek akan bermula, Sabtu ini dengan Azizulhasni atau dikenali sebagai The Pocketrocketman bakal menggalas tanggungjawab getir beraksi dalam acara pecut.

Josiah pula diletakkan sebagai pelumba simpanan dalam perlumbaan tersebut.

Bagaimanapun tumpuan lebih terarah kepada acara keirin yang berlangsung Selasa depan, di mana acara yang akan disertai Azizulhasni itu dikatakan mempunyai sedikit harapan untuk memenangi pingat. Josiah turut berada dalam senarai simpanan bagi acara tersebut.

Pelumba tunggal wanita, Fatehah pula akan beraksi esok dalam acara keirin.
Menurut ketua jurulatih negara, John Beasley, anak buahnya itu berada pada tahap terbaik dan mula membina keyakinan menjelang perlumbaan.

"Fatehah bakal beraksi dengan baik jika dia hanya fokus kepada perlumbaan dan berhenti daripada berasa takut melakukan kesilapan.

"Jika dia dapat merebut peluang dan menjadi pelumba yang sangat berani dia mampu memberi cabaran kepada pelumba lain," katanya.

Ketiga-tiga pelumba tersebut telah menjalani latihan sebulan di Ghent, Belgium bersama tiga lagi pelumba lebuh raya yang turut beraksi di Olimpik, Adiq Husainie Othman dan Amir Mustafa Rusli bersama pelumba simpanan, Zamri Salleh.



-UTUSAN

0 comments:

Post a Comment