Monday, August 6, 2012 | | By: Febi

OLIMPIK: 'The Pocketrocketman' Mohd Azizulhasni Layak Ke Suku Akhir

LONDON, 4 Ogos (Bernama) -- Pelumba trek sensasi negara, Mohd Azizulhasni Awang menampilkan aksi cemerlang di Velodrom London apabila menempah tempat ke suku akhir acara pecut lelaki Sukan Olimpik 2012.

Pelumba kelahiran Terengganu yang digelar 'The Pocketrocketman' itu, memulakan saingan acara itu dengan mencatatkan masa 10.226 saat pada sesi kelayakan untuk berada pada kedudukan ke-11 dalam kalangan 17 pelumba.

Pada pusingan pertama, Mohd Azizulhasni menumpaskan pelumba China, Zhang Miao sebelum tewas kepada Denis Dmitriev dari Rusia pada pusingan kedua.

Pada aksi sukar kerana terpaksa mengharungi perlumbaan repechages akhir, pelumba negara itu yang berpangkalan latihan di Melbourne unggul menduduki tempat teratas dalam kalangan tiga pelumba untuk layak ke suku akhir esok.

Beliau mengenepikan cabaran pelumba Jepun, Seiichiro Nakagawa dan Hersony Canelon dari Venezuela dalam saingan tersebut.

Bagaimanapun tugas getir menanti Mohd Azizulhasni di suku akhir kerana beliau akan berdepan pelumba Britain, Jason Kenny yang hari ini melakukan masa terpantas dalam sesi kelayakan serta mencatatkan rekod baharu Olimpik dalam acara itu.

Pelumba Britain itu mencatatkan 9.713 saat untuk memperbaharui catatan 9.815s yang dilakukan rakan senegaranya, Chris Hoy pada Sukan Olimpik Beijing 2008.

Pengurus pasukan Malaysia, Datuk Naim Mohamad, bagaimanapun yakin Mohd Azizulhasni mampu mengalahkan pelumba Britain itu jika beliau berada pada prestasi cemerlangnya.

"Pada hari ini, 17 pelumba bersaing pada sesi kelayakan tetapi esok Mohd Azizulhasni akan berdepan satu lawan satu dengan Kenny, yang akan memberi lebih banyak ruang kepadanya membuat pecutan," kata Naim.

Pada Sukan Olimpik Beijing, cabaran Mohd Azizulhasni berakhir di peringkat suku akhir.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment