Tuesday, August 7, 2012 | | By: Febi

Olimpik: Mohd Azizulhasni Dan Yeoh Ken Nee Mara Ke Pusingan Berikutnya


LONDON, 7 Ogos (Bernama) -- Pelumba basikal trek kebangsaan, Mohd Azizulhasni Awang mara ke pusingan kedua acara keirin lelaki manakala Yeoh Ken Nee pula menempah tempat ke final 3m papan anjal lelaki Olimpik 2012, yang berlangsung di sini Selasa.

Pusingan kedua keirin lelaki akan diadakan pada 4.30 petang waktu London atau 11.30 malam waktu Malaysia manakala final acara terjun pula pada 7 malam waktu London atau 2 pagi waktu Malaysia.

Dalam pusingan pertama keirin, Mohd Azizulhasni berlumba dalam Saringan 3 bersama-sama dengan Joseph Volece (Can), Fabian Hernando Puerta Zapata (Col), Denis Spicka (Cze), Mikael Bourgain (Fra) dan Volikakis Christos (Gre).

Dalam pertandingan lapan pusingan itu, Mohd Azizulhasni menamatkan saingan di tempat kedua, di belakang pendahulu, Bourgain.

Hanya dua pelumba terbaik dalam setiap saringan layak secara automatik ke pusingan kedua.

Dalam pusingan kedua, Mohd Azizulhasni berdepan saingan sengit memandangkan beliau akan berlumba bersama-sama juara bertahan keirin Olimpik, Chris Hoy dari Britain, yang turut memenangi tiga pingat emas dalam Olimpik Beijing 2008.

Selain Hoy, seorang lagi penunggang dalam kumpulan itu ialah Juan Peralta Gascon (Esp), Christoy Volikakis (Gre), Teun Mulder (Ned) dan Nicholas Phillip Njisane (Tri).

Seorang lagi penunggang terkemuka dalam saringan yang sama ialah Nedherlands Mulder, yang juga bekas juara dunia dan pemenang keirin piala dunia.

Sementara itu, Yeoh berjaya mendapat tempat terakhir dalam kalangan 12 penerjun yang berjaya melangkah ke final setelah mengumpul 441.65 mata dalam separuh akhir 3m papan anjal lelaki.



Daripada Zulhilmi Supaat -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment