Monday, August 6, 2012 | | By: Febi

OLIMPIK: Kemarau Pingat Emas Malaysia Berterusan Selepas Chong Wei Sekadar Raih Perak


LONDON, 5 Ogos (Bernama) -- Harapan Malaysia mengakhiri kemarau pingat emas di temasya Olimpik berkecai apabila Datuk Lee Chong Wei tumpas kepada pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China pada perlawanan akhir perseorangan lelaki Sukan Olimpik 2012.

Dalam acara yang diadakan di Wembley Arena, di sini pada Ahad, Chong Wei, pemain nombor dua dunia tumpas 21-15, 10-21, 19-21 dalam perlawanan yang berlangsung 79 minit.

Di Olimpik Beijing empat tahun lepas, Chong Wei juga akur kepada lawan yang sama 12-21, 8-21 pada perlawanan akhir untuk meraih pingat perak.

Chong Wei bermula cemerlang pada set pertama hari ini apabila pada satu ketika mendahului Lin Dan 6-4, 11-8, 17-12 dan 19-14.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu kemudian memberikan satu mata kepada lawannya sebelum menang set berkenaan 21-15 dalam masa 24 minit.

Lin Dan, kemudian bangkit pada set kedua dengan lompatan smash, 'drop-shot' serta permainan jaring bagi memerangkap Chong Wei untuk mendahului 5-4, 13-7, 17-8, 20-10 sebelum menamatkan saingan tersebut 21-10 dalam masa 20 minit sekaligus mengheret pertemuan itu ke set ketiga.

Pada set penentuan, kedua-dua pemain mempamerkan aksi bertenaga sebelum pemain Tembok Besar China itu berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Beijing dengan 21-19 dalam perlawanan yang berlangsung 26 minit.

Chong Wei berkata beliau begitu kecewa selepas gagal dalam penampilan keduanya di pentas akhir Sukan Olimpik kepada lawan yang sama.

"Ia benar-benar permainan yang sengit. Tetapi saya tahu, saya bermain baik berbanding di Beijing," katanya.

Jurulatih kebangsaan Rashid Sidek berkata strategi memenangi set pertama bagi memberi tekanan kepada pemain China itu menjadi apabila Chong Wei menang mudah 21-15.

"Dalam set kedua, apabila Lin Dan jauh mendahului Chong Wei, strateginya ialah melepaskan set tersebut bagi memberi tumpuan kepada set penentuan.

"Malangnya, Lin Dan semakin yakin. Dalam rubber-set, Chong Wei juga semakin yakin dan dia sudah mengeluarkan segala kebolehannya namun Lin Dan mempunyai jawapan kepada semua itu," katanya.

Turut hadir memberi sokongan kepada Chong Wei di Wembley Arena, ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Sejak Malaysia menyertai temasya Olimpik pada 1956, hanya beregu Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock (Atlanta 1996) dan Chong Wei (Beijing 2008) yang hampir memenangi pingat emas buat negara pada temasya itu, namun hajat mereka tersekat di peringkat akhir untuk sekadar meraih pingat perak.

Pasangan adik-beradik Razif-Jalani Sidek menyumbangkan pingat Olimpik pertama kepada Malaysia semasa Olimpik Barcelona 1992 dengan meraih gangsa sementara adik mereka, Rashid juga memenangi gangsa di temasya yang sama.

Laluan ke perlawanan akhir:

DATUK LEE CHONG WEI: mn Ville Lang (FIN) 21-8, 14-21, 21-11 (Kumpulan A), mn Simon Santoso (INA) 21-12, 21-8 (pusingan ketiga), mn Kashyap Parupali (IND) 21-19, 21-11 (suku akhir), mn Chen Long (CHN) 21-13, 21-14 (separuh akhir).

Lin Dan (CHN): mn Scott Evans (IRL) 21-8, 21-14 (Kumpulan P), mn Taufik Hidayat (INA) 21-9, 21-12 (pusingan ketiga), mn Sho Sasaki (JPN) 21-12, 16-21, 21-16 (suku akhir), mn Lee Hyun Il (KOR) 21-12, 21-10 (separuh akhir).

Daripada Zulhilmi Supaat -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment