Monday, August 6, 2012 | | By: Febi

Masih boleh ke Olimpik - Misbun

KUALA LUMPUR - "Kalau tengok kudrat (Datuk) Lee Chong Wei, dia masih mampu beraksi sehingga Sukan Olimpik 2016, namun semua terpulang kepada kemahuannya,'' kata Datuk Misbun Sidek mengulas mengenai masa depan bekas anak didiknya itu.

Chong Wei, 29, sebelum ini mengumumkan Olimpik London 2012 adalah penampilan terakhirnya di temasya sukan terbesar dunia itu dan dia bercadang untuk bersara pada 2014 selepas dua lagi Kejohanan Dunia dan Sukan Asia di Incheon.

Andai dia tidak berganjak daripada keputusan tersebut, bermakna Chong Wei akan menutup karier Olimpik bersama dua pingat perak selepas tewas lagi kepada musuh tradisi, Lin Dan dalam perebutan emas, kelmarin.

"Keadaan fizikal Chong Wei masih bagus, dia tiada masalah untuk bermain (secara kompetitif) sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun lagi. Saya juga tidak terkejut kalau dia masih beraksi di Olimpik 2016 (Rio).

"Namun yang menjadi persoalan sekarang apakah kemahuannya ?. Apakah dia masih mahu bermain atau tidak mahu bermain, itu saja.

"Saya bukan lagi jurulatihnya, jadi saya tidak tahu apa yang bermain di fikiran Chong Wei. Saya tidak tahu apa yang benar-benar dimahukan oleh pemain ini. Kalau dia bersama saya, sudah tentu kami boleh merencanakan pelan masa depan dan tidak mustahil bertanding di Olimpik 2016 adalah salah satu daripadanya,'' ujar Misbun, yang meninggalkan bekas pemain No. 1 dunia itu 18 bulan lalu.

Ditanya apakah menjadi impiannya untuk melihat bekas anak didiknya dan anaknya sendiri, Misbun Ramdan Misbun berkongsi pentas Olimpik di Rio 2016, jurulatih legenda itu hanya tersenyum tanpa sebarang jawapan.

Misbun, 52, mengakui tidak gembira dengan perkembangan Ramdan, 21, yang dianggap agak perlahan, namun anaknya itu tetap mempunyai prospek untuk membawa cabaran Malaysia di pentas besar kerana berada dalam skuad projek Olimpik 2016.

"Saya tidak begitu gembira dengan kemajuan Ramdan kerana dia agak perlahan. Sepatutnya di peringkat sekarang dia sudah berada pada tahap lebih tinggi. Saya serahkan Ramdan sepenuhnya kepada jurulatihnya (Hendrawan) dan BAM.

"Saya tidak langsung tak nak kacau dia, biarpun saya adalah bapanya. Saya tidak mahu menokok tambah (latihan) kerana ia hanya akan menyebabkan dia keliru, sebaiknya saya serah dia kepada yang sepatutnya,'' ujarnya.



Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
norzie.khasbi@utusan.com.my




0 comments:

Post a Comment