Monday, August 6, 2012 | | By: Febi

Kepulangan Chong Wei Disambut Sebagai Wira


SEPANG, 7 Ogos (Bernama) -- Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, yang meraih pingat perak pada Sukan Olimpik London 2012, diberi sambutan wira oleh lebih 1,000 peminat yang mengibarkan bendera dan melaungkan kata-kata sokongan setibanya di tanah air pada Selasa.

Ruang balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipenuhi peminat dan penyokong yang tiba seawal 6 pagi dengan membawa sepanduk dan poster antaranya tertera 'LCW - National Hero' dan 'We Love You LCW'.

Semasa menantikan ketibaan Chong Wei, mereka turut menyanyikan beberapa lagu patriotik seperti 'Negaraku' dan 'Barisan Kita' secara beramai-ramai.

Suasana di balai ketibaan itu riuh apabila berita pesawat Malaysia Airlines MH02 yang membawa Chong Wei dari London dilapor mendarat pada kira-kira 7.30 pagi, dengan peminat mula melaung-laungkan nama beliau berulang kali.

Sebaik sahaja Chong Wei melangkah ke balai ketibaan sejam kemudian, para peminat dan penyokong melaungkan slogan 'Malaysia Boleh' dan menyanyikan lagu 'Negaraku' dan 'Barisan Kita' serta melaungkan nama pemain badminton negara itu.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment