Tuesday, August 7, 2012 | | By: Febi

Ken Nee lakar sejarah terjun

LONDON - Yeoh Ken Nee melakar sejarah muncul penerjun Malaysia pertama berjaya melayakkan diri ke saingan akhir individu Sukan Olimpik selepas menempatkan diri di kalangan 12 peserta terbaik acara 3 meter papan anjal, semalam.

Dan, sejurus mengesahkan tiketnya di final, penerjun senior berusia 29 tahun itu mencabar dua bintang muda negara, Pandelela Rinong setra Bryan Nickson Lomas agar mengikut jejaknya apabila kedua-dua penerjun tersebut membuat penampilan dalam saingan individu.

"Saya percaya, sebagai penerjun senior saya telah memberi contoh kepada rakan-rakan sepasukan dan saya mahu mereka juga memberi persembahan yang baik.
"Saya harap, kejayaan layak saingan akhir buat kali pertama, akan menjadi inspirasi kepada mereka untuk melakukan pencapaian yang serupa,'' ujar Ken Nee.

Semalam, Ken Nee menempatkan diri di kalangan 12 penerjun terbaik selepas mengumpul 441.65 mata. Penerjun China, He Chong mengetuai saingan dengan 510.15 mata, diikuti penerjun Rusia, Ilya Zakharov (505.60s) dan Qin Kai, juga dari China dengan 500.35s.

Ken Nee, yang membuat penampilan kedua di Sukan Olimpik sebenarnya sudahpun melakar sejarah apabila melayakkan diri ke separuh akhir kelmarin.

"Saya sangat gembira dapat menempatkan diri ke saingan akhir kerana sasaran awal saya di sini cuma cuba untuk ke separuh akhir,'' ujarnya.

Pandelela akan mengambil bahagian dalam 10m platform individu wanita hari ini, manakala Bryan turun beraksi dalam 10m platform lelaki, Jumaat ini.



UTUSAN

0 comments:

Post a Comment