Wednesday, August 1, 2012 | | By: Febi

Impian Raih Pingat Di Pusat Akuatik Lebur

LONDON, 2 Ogos (Bernama) -- Suasana suram menyelubungi kontinjen Malaysia pada hari kelima Sukan Olimpik 2012 apabila gandingan penerjun Bryan Nickson Lomas dan Huang Qiang berundur dengan penuh hampa dalam acara 3m papan anjal seirama di Pusat Akuatik di sini Rabu.

Gandingan harapan negara yang disandarkan prospek mengutip sebutir pingat pertama negara gagal menampilkan persembahan seperti diharapkan apabila kecewa dengan tangga tercorot dalam kalangan lapan negara peserta.

Bryan dan Huang sekadar mengumpul 405.09 mata.

Penerjun China, Qin Lai dan Luo Yutong merangkul emas dengan 477.00 mata diikuti pingat perak oleh gandingan Russia, Ilya Zakharoz dan Evgeny Kuznetsov dengan 459.63 mata.

Manakala Amerika Syarikat menggondol pingat gangsa dengan 446.76 mata menerusi gandingan Kristian Ipsen dan Troy Dumais.

Bryan dan Huang, bagaimanapun, mempunyai peluang untuk menebus kekecewaan apabila bersaing dalam acara 10m platform yang akan bermula pada 10 Ogos ini.

Meskipun begitu, kontinjen negara diceriakan oleh jaguh badminton Datuk Lee Chong Wei yang kembali semula dengan persembahan mantap untuk melangkah ke suku akhir.

Chong Wei, yang diharapkan menggondol emas pertama negara dalam Sukan Olimpik, menjinakkan pemain Indonesia Simon Santoso pada pusingan kedua sebelum berjumpa dengan pemain India, Kashyap Parupali, pada perlawanan suku akhir.

Pada Khamis, tumpuan Malaysia akan terarah ke Arena Wembley apabila Chong Wei bertemu Kashyap dan beregu negara Koo Kien Keat/Tan Boon Heong membuka saingan suku akhir menentang beregu Thailand, Isara Bodin/Jongit Maneepong.

Di Pusat Akuatik pula, perenang Khoo Cai Lin akan mencuba nasib dalam acara saringan 800m gaya bebas wanita.

Daripada Zulhilmi Supaat -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment