Thursday, August 2, 2012 | | By: Febi

Fatehah buka tirai aksi keirin

LONDON - Hari ini akan menjadi ujian besar buat pelumba tunggal wanita negara Fatehah Mustapa ke Sukan Olimpik London untuk mencipta sejarah buat apabila turun beraksi dalam acara keirin yang akan berlangsung di Velopark dekat sini.

Turun tanpa disandarkan harapan memburu pingat sebaliknya memburu ke saingan akhir, Fatehah yakin dia dapat melakukan kayuhan dengan baik bersandarkan kepada pencapaiannya dalam beberapa kejohanan lalu termasuk Piala Dunia di Melbourne, Februari lepas.

Atas kertas, gadis berusia 23 tahun ini yang juga pemenang pingat emas dalam Kejuaraan Lumba Basikal Asia (ACC) Kuala Lumpur 2012 itu memiliki rekod yang memberangsangkan sejak berlatih di bawah bimbingan ketua jurulatih kelahiran Australia, John Beasley di Melbourne, lima tahun lalu.
''Meskipun saya akan berdepan dengan ramai pelumba hebat seperti pelumba tuan rumah, Victoria Pendleton, tetapi saya yakin dapat memberikan tentangan berdasarkan beberapa keputusan yang baik dalam beberapa kejohanan pemanas badan antaranya di Cobbert dan Koln, Jerman beberapa minggu sebelum menjejakkan kaki ke London.

''Saya berjaya mencatat kedudukan lima terbaik dalam acara keirin dan pecut, ini satu peningkatan yang memberangsangkan," katanya.

Fatehah yang memiliki rekod terbaik 11.04 saat dalam acara pecut yang di buatnya pada Kejohanan Dunia di Melbourne, April lalu berkata, dia bagaimanapun tidak mahu menjadikan rekod pencapaian lalu dalam beberapa kejohanan antarabangsa sebagai kayu pengukur di London kerana tidak mahu rasa tertekan dan terlebih yakin.

''Saya akan cuba bertenang dan relaks. Saya akan cuba mengelak daripada bersikap kelam kabut semasa bertanding kerana kita perlu sentiasa tenang untuk mengelak diri daripada rasa tertekan," katanya yang pernah menewaskan beberapa pelumba handalan dunia semasa menyertai beberapa kejohanan di luar negara. - UTUSAN

0 comments:

Post a Comment