Wednesday, August 1, 2012 | | By: Febi

Chong Wei Jumpa Kashyap Pada Perlawanan Suku Akhir

LONDON, 2 Ogos (Bernama) -- Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei akan berdepan dengan pemain India Kashyap Parupali pada perlawanan suku akhir setelah mengatasi Simon Santoso dari Indonesia pada pusingan kedua acara perseorangan lelaki pada Sukan Olimpik 2012 di sini Rabu.

Dalam saingan di Arena Wembley di sini, Chong Wei, pemain nombor dua dunia dan pilihan utama di sini hanya mengambil masa 34 minit untuk menjinakkan Simon 21-12, 21-18.

Dalam pada itu, Kashyap terpaksa berkerja keras untuk melangkah ke suku akhir apabila menundukkan Niluka Karunaratne dari Sri Lanka 21-14, 15-21, 21-9 pada pusingan kedua.

Chong Wei, pemenang pingat perak pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, berkata kejayaan kedua di sini meningkatkan keyakinan untuk menampilkan persembahan sebenarnya selepas tidak beraksi secara kompetitif selama dua bulan akibat kecederaan buku lali pada Mei lepas.

"Saya menikmati setiap detik di gelanggang kerana semua berjalan lancar dan ia kemenangan yang mudah daripada dijangkakan. Saya mampu mengawal perlawanan dan ini memberi keyakinan yang lebih besar kepada diri saya.

"Perlawanan pertama tiga set pada saingan kumpulan sebenarnya begitu baik kerana ia memberi latihan kepada saya untuk melakukan pukulan tertentu. Kini satu lagi halangan untuk dilalui dan dengan doa semua rakyat Malaysia, saya optimis untuk mara ke separuh akhir," kata Chong Wei selepas saingan itu.

Pada perlawanan Kumpulan A, dua hari lepas, Chong Wei mengalahkan pemain Finland, Ville Lang 21-8, 14-21, 21-11.

Mengenai pertembungan suku akhir dengan Kashyap nanti, Chong Wei berkata beliau pernah bertemu dengan lawannya itu tetapi saingan Olimpik adalah tahap pertandingan yang begitu berbeza.

"Di Olimpik, tiada lawan boleh dianggap mudah dan saya menjangka beliau akan memberi persembahan terbaiknya dan tidak ada ruang untuk leka," katanya.

Daripada Zulhilmi Supaat -- BERNAMA


0 comments:

Post a Comment