Monday, August 6, 2012 | | By: Febi

Chong Wei Berikan Yang Terbaik - Rosmah

LONDON, 5 Ogos (Bernama) -- Datuk Lee Chong Wei telah memberikan persembahan yang terbaik tetapi Lin Dan yang lebih bernasib baik untuk memenangi pingat emas Olimpik 2012, kata penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau yang juga isteri Perdana Menteri berkata peminat badminton di Malaysia sepatutnya berpuas hati dengan semangat juang yang ditunjukkan oleh pemain perseorangan nombor dua dunia itu walaupun hanya mendapat pingat perak.

"Semua peminat patut rasa puas hati dan tidak kecewa kerana Chong Wei telah memberikan persembahan terbaik. Cuma Lin Dan lebih bernasib baik," katanya kepada pemberita Malaysia selepas tamat perlawanan akhir perseorangan lelaki yang berlangsung di Arena Wembley di sini, Ahad.

Rosmah berada di sini bersama isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman untuk memberikan sokongan kepada Chong Wei.

Pada perlawanan itu, Chong Wei dijinakkan oleh Lin Dan 21-15, 10-21, 19-21 dalam masa 79 minit. Pada edisi di Beijing empat tahun lepas, Lin Dan menundukkan Chong Wei 21-12, 21-8 untuk meraih emas Olimpik pertamanya.

Rosmah berkata walaupun pemain dari Tembok Besar itu tewas pada set pertama dengan catatan 15-21, ia adalah strategi biasa bagi Lin Dan.

"Berdasarkan analisis yang saya lakukan, setiap kali berdepan dengan Chong Wei, Lin Dan akan melepaskan set yang pertama sebelum memenangi set kedua. Secara taktikal, dia cuba melemahkan Chong Wei.

"Lin Dan akan kembali agresif pada set ketiga untuk memenangi perlawanan," katanya.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment