Wednesday, August 1, 2012 | | By: Febi

Bryan-Huang tenggelam

 
AKSI Bryan Nickson Lomas (atas) dan Huang Qiang dalam acara 3 meter papan anjal seirama di Pusat Akuatik Olimpik, London semalam. 
 
LONDON - Skuad terjun terus buntu untuk mencari pingat pertama pada Sukan Olimpik 2012 dari acara terjun apabila gandingan Bryan Nickson Lomas-Huang Qiang menghuni kedudukan tercorot dalam saingan lapan peserta akhir acara 3 meter papan anjal seirama di pusat akuatik di sini, semalam.
Pasangan itu mencatat skor 52.80 untuk terjunan pertama seterusnya 52.20 untuk mendaki ke tangga ketiga.

Namun, jatuh ke tangga keenam pada terjunan ketiga dengan catatan 78.12 mata seterusnya 80.19, 63.24 dan 78.54 untuk mengakhiri rutin terakhir dengan jumlah skor 405.09 jauh ditinggalkan pemenang pingat emas dari China, Qin Kai-Luo Yutong yang mengumpul 477 mata diikuti pemenang perak dari Rusia, Ilya Zakharov-Evgeny Kuznetsov (459.63) manakala gangsa milik pasangan Amerika Syarikat, Kristian Ipsen-Troy Dumais (446.70).

"Kami sudah buat yang terbaik tetapi saya mengakui melakukan kesilapan pada terjunan ketiga dan kelima menyebabkan kedudukan kami terus ke bawah. Kami sasar untuk berada di tempat teratas pada dua terjunan pertama tetapi kami kehilangan sedikit mata pada terjunan kedua. Mungkin masa itu terjunan kami tidak seragam.

"Saya dan Huang memang kecewa sebab kami menyasarkan untuk meraih pingat dalam acara ini memandangkan kami berjaya mendapat tempat ketiga semasa menyertai Piala Dunia di sini (London) Februari lalu. Tapi apa boleh buat kami sudah cuba yang terbaik. Saya dan Huang hanya memberi tumpuan berlatih dalam acara ini sahaja selama ini," kata Bryan dalam nada kecewa.

Sementara itu, jurulatih skuad terjun, Yang Zhuliang berkata, daripada pengamatannya, dia mendapati kedua-dua anak buahnya itu melakukan kesilapan pada terjunan kelima, malah Bryan nampak begitu teruja pada aksinya sehinggakan sentuhannya ke dalam air terjejas.

Lagipun, kata Zhuliang, dari segi darjah disiplin penerjun negara masih ada kekurangan dan pada masa yang sama mereka terpaksa bersaing dengan barisan terbaik dunia.

Dalam pada itu, Bryan masih mempunyai satu lagi aksi di sini iaitu terjun 10 meter platform pada 10 Ogos ini dan dia berharap dapat melakukan yang terbaik.

"Saya akan berlatih esok (hari ini) dan berharap dapat melakukan yang lebih baik," ujarnya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment