Tuesday, August 7, 2012 | | By: Febi

Azizulhasni, Yeoh Gagal Sumbang Pingat Emas Kepada Malaysia


LONDON, 8 Ogos (Bernama) -- Dua atlet negara yang beraksi di pentas akhir Sukan Olimpik 2012 gagal menyumbangkan pingat emas pertama kepada kontinjen Malaysia pada Selasa.

Selepas Datuk Lee Chong Wei menyumbangkan pingat perak menerusi acara badminton pada Ahad, Malaysia menaruh harapan kepada Mohd Azizulhasni Awang untuk menghadiahkan emas pertama kepada negara, sejak menyertai temasya itu pada Olimpik Melbourne 1956.

Mohd Azizulhasni bermula dengan baik apabila melepasi pusingan pertama dan separuh akhir untuk menempah tempat ke saingan akhir acara keirin individu lelaki.

Bagaimanapun pada perlumbaan akhir, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu berusia 24 tahun itu gagal menampilkan aksi cemerlang apabila menduduki tempat terakhir dalam kalangan enam pelumba.

Pelumba Britain, Chris Hoy yang juga juara bertahan, memenangi pingat emas acara itu manakala perak milik Levy Maximilian dari Jerman. Simon Van Velthooven dari New Zealand dan Mulder, masing-masing meraih gangsa.

Pada satu lagi saingan akhir, penerjun negara Yeoh Ken Nee yang kembali beraksi pada temasya sukan terbesar itu, menduduki tempat ke-10 dalam acara 3m papan anjal individu lelaki.

Penerjun berusia 29 tahun dari Kuala Lumpur itu mengutip keseluruhan 437.45 mata.

Pada hari ke-12 temasya itu Rabu, Pandelela Rinong anak Pamg dan Traisy Vivien Tukiet akan turun beraksi dalam acara 10m platform wanita di Pusat Akuatik.

Daripada Zulhilmi Supaat -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment