Monday, July 23, 2012 | | By: Febi

Terjun mampu beri dua pingat

KUALA LUMPUR - Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) menetapkan sasaran dua butir pingat Olimpik tanpa mengira warna menerusi sukan terjun dan percaya ia adalah satu sasaran realistik untuk dicapai pada Sukan Olimpik London.

Keyakinan itu disuarakan sendiri oleh Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menemui dan memberi kata-kata semangat kepada semua anggota pasukan akuatik termasuk perenang tunggal, Khoo Cai Lin di Majlis Sukan Negara, sebelum mereka berlepas ke London, semalam.

Shahidan yang tidak berkesempatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kerana perlu menghadiri berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, membawa bersama pesanan daripada pemimpin No.1 negara itu.

"Perdana Menteri tahu saya akan bertemu atlet-atlet akuatik dan beliau meminta saya untuk menyampaikan ucapan selamat berjuang, selamat mencapai kecemerlangan.

"Di pihak ASUM, kami percaya terjun mampu membawa pulang dua pingat, tidak kiralah apa warnanya, tetapi alangkah baiknya mereka kembali dengan kilauan emas," katanya ketika ditemui semalam.

Untuk melonjakkan lagi semangat atlet-atlet, Shahidan bermurah hati menghulurkan 4,000 pound (RM19,700) untuk dikongsi bersama seluruh skuad akuatik sebagai wang saku di London.
Lapan atlet terjun iaitu Pandelela Rinong, Bryan Nickson Lomas, Leong Mun Yee, Yeoh Ken Nee, Huang Qiang, Traisy Vivien Tukiet, Cheong Jun Hoong dan Wendy Ng Yan Yee serta Cai Lin terlebih dahulu berlepas ke London.

Perenang perairan terbuka, Heidi Gan pula akan berlepas ke Lonodn Khamis ini.



- UTUSAN

0 comments:

Post a Comment