Wednesday, July 25, 2012 | | By: Febi

Suryani gamit tumpuan dunia


SURYANI muncul penembak tunggal negara yang akan beraksi pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London.


NEW YORK - Keazaman penembak wanita negara, Nur Suryani Mohamed Taibi, 29, untuk memenangi pingat pada Sukan Olimpik 2012 di London, bukan sahaja menarik perhatian ramai penulis blog, malah akhbar terkemuka seperti New York Daily News, New York Times dan Columbus Despatch.

Menang atau kalah memang adat pertandingan tetapi dalam hal ini, yang pasti, Nur Suryani, pakar dalam acara 10 meter Air Rifle, sudah berjaya menarik perhatian kolumnis dan pemberita yang kagum dengan rekod yang bakal diciptanya sebagai peserta yang menyertai Sukan Olimpik ketika mengandung lapan bulan.

Dalam laporannya mengenai Suryani, New York Daily News antara lain menulis 'penyertaan wanita paling sarat mengandung dalam sejarah sukan ternama ini.'
Perkara yang mengagumkan peminat Suryani di seluruh dunia ialah sikapnya yang berpegang teguh dengan semangat Malaysia Boleh - azimat yang menjadi pembakar semangat kebanyakan rakyat Malaysia untuk maju dalam segenap lapangan.

Kata-kata Suryani kepada The New York Times menampakkan sikap serta semangatnya yang bertaraf universal.

"Bagi saya, tiada apa yang mustahil. Ini suatu cabaran. Jika saya mengalah kali ini, saya kena tunggu empat tahun lagi. Mungkin, ketika itu, peluang untuk saya sudah tiada lagi," jelasnya.
New York Times turut memetik Suryani sebagai berkata, apabila tua kelak, dia akan mengatakan kepada anaknya: "Kamu sungguh bernasib baik. Belum lahir lagi, kamu sudah menyertai Sukan Olimpik!"

Penyertaan Suryani mendorong media Amerika membuat spekulasi tentang jumlah wanita hamil yang menyertai Sukan Olimpik setakat ini.

Namun, fakta mengenainya sukar diperoleh kerana Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa tidak mempunyai rekod tentang perkara itu.

Menurut akhbar itu, sekurang-kurangnya tiga wanita hamil telah beraksi pada Sukan Olimpik dan itupun Sukan Olimpik Musim Sejuk Antarabangsa.

Kali terakhir ialah melibatkan jaguh acara curling dari Kanada, Kristie Moore yang bertanding pada Olimpik 2010 di Vancouver ketika hamil lima bulan sete- ngah.

Penyertaan Moore menjadi lebih sensasi apabila dia memenangi pingat perak bagi acara itu.
Bagaimanapun, terdapat beberapa kes wanita hamil mengambil bahagian dalam beberapa kejohanan selain Sukan Olimpik.

Amber Miller, 27, turut mencipta sensasi apabila dia menyertai perlumbaan Maraton Chicago tahun lepas ketika hamil 39 minggu dan melahirkan bayi perempuan hanya beberapa jam selepas acara tersebut. - Bernama

0 comments:

Post a Comment