Tuesday, July 24, 2012 | | By: Febi

Suryani elak sangkut doping

Ahmad Shabery Cheek (dua dari kanan) memberikan kata-kata semangat pada atlet negara yang berlepas ke London untuk Sukan Olimpik 2012 di KLIA, Sepang kelmarin. Turut menyertai kontinjen negara ke London ialah penembak wanita negara yang mengandung lapan bulan, Nur Suryani Mohd. Taibi (kanan). 
 
SEPANG - Penembak wanita negara yang sarat mengandung, Nur Suryani Mohamed Taibi mengambil langkah awal bagi mengelakkan kemungkinan ubat-ubatan tambahan yang dibawanya mampu mengaitkannya dengan kegagalan ujian doping pada Sukan Olimpik London.

Borang rasmi pengesahan dan pelepasan daripada doktor telah dilengkapkan sebelum dia berangkat dengan 11 lagi atlet negara daripada sukan terjun, renang dan lawan pedang, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, kelmarin.

"Saya perlu membawa ubat mengandung, (jika berkemungkinan diuji doping), saya sudah sedia dan lengkapkan borang pengesahan doktor. Jadi rasanya tiada masalah," katanya yang turut ditemani suami, Marhazli Mhotar.

Leftenan Muda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu berkata, selain itu dia juga membawa ubat penyakit lelah yang diletakkan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya kerap terdedah dengan keadaan persekitaran lapang sasar di London yang berhabuk.

Mengenai kehadiran suaminya, katanya: "Memang saya rasa lebih bersemangat, berkeyakinan dan terjamin apabila dia berdekatan. Namun adat bertanding, peluang menang pingat itu tetap terbuka kepada sesiapa juga, tidak kira dia peserta pilihan atau bukan."

Sementara itu, atlet lawan pedang negara, Yu Peng Kean berkata, dia masih terasa sakit pada lutut kirinya yang tercedera sejak menduduki tempat ketujuh Kejohanan Asia di Seoul, Korea Selatan, tahun lalu tetapi menegaskan, ia bukan sesuatu yang bakal mengganggu aksinya di London.

"Ketika berlatih di China lebih sebulan, sebelum ini, saya sudah buat rawatan pemulihan dan saya rasa tiada masalah besar lagi. Mengenai undian dan bakal lawan di London, saya belum dapat makluman lagi dan akan hadapi sesiapa sahaja yang menanti mulai pusingan kedua," katanya.



- UTUSAN

0 comments:

Post a Comment