Friday, July 20, 2012 | | By: Febi

Skuad Paralimpik London Sasar Pencapaian Lebih Baik Daripada Beijing

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Skuad Paralimpik London menyasarkan pencapaian lebih baik berbanding satu pingat gangsa yang diraih ketika temasya di Beijing, China empat tahun lepas.

Ketua kontinjen Datuk Seri Zolkples Embong berkata olahraga, memanah dan renang dilihat mampu menghasilkan pingat kerana atlet negara yang akan bertanding berada pada rangking terbaik dunia.

"Ketika di Beijing kita meraih satu gangsa, oleh sebab itu bagi tujuan membaiki prestasi, kali ini ialah apa saja yang lebih baik daripada itu, sama ada lebih daripada satu gangsa, perak atau emas kita anggap telah mencapai sasaran," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ketua kontinjen bersama pengurus pasukan Paralimpik, di sini hari ini.

Pada Sukan Paralimpik di Beijing, Malaysia yang menghantar 11 atlet dan mengambil bahagian dalam lima acara, berjaya membawa pulang satu gangsa menerusi Siow Lee Chan dalam acara powerlifting wanita bawah 56kg.

Kali ini seramai 23 atlet dan 16 pegawai akan membawa cabaran negara ke kejohanan tersebut yang bermula dari 29 Ogos hingga 9 Sept ini.

Kontinjen negara yang akan berangkat ke London pada 21 Ogos ini, akan beraksi dalam 28 daripada 483 acara yang dipertandingkan.

Meskipun timbul kesulitan berikutan kuota bilangan pegawai yang dibenarkan terhad pada 16 orang sahaja, Zolkples berkata masalah itu dapat diselesaikan dengan kerjasama dan pengorbanan daripada semua pihak terlibat.

"Seramai 10 jurulatih, tiga pegawai perubatan dan tiga pegawai urusetia akan turut serta. Saya telahpun memberi penerangan yang terperinci dalam mesyuarat tadi iaitu mereka perlulah 'multitasking' dan saling membantu," katanya.

Menurut Zolkples setakat ini segala persiapan berjalan lancar walaupun ada beberapa atlet dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

"Kita harap mereka boleh sembuh sebelum kejohanan," katanya yang akan turut menghadiri kem bina semangat untuk skuad tersebut dari 11 hingga 21 Ogos ini di Putrajaya.

Seramai 20 dari 23 atlet kurang upaya yang akan ke London layak secara merit termasuk tujuh atlet olahraga iaitu Mohd Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20), Mohamad Saifuddin Ishak (lompat jauh F13), Eryanto Bahtiar (lompat kijang dan lompat jauh F46), Adderin Majurin (lempar cakera F33), Faridul Masri (lontar lembing F56) serta atlet wanita Nur Suhana Ramlan (lontar peluru F20) dan Hemala Devi Eni Kuty (lempar cakera dan lontar peluru F12).

Selain itu Koh Zhi Liang (ping-pong), P. Mariappan (powerlifting), Zul Amirul Sidi Abdullah dan Jamery Siga (renang), Abdul Rahman Razali (lawan pedang), Mohd Khairul Hazwan Wahab (berbasikal), Hasihin Sanawi, Zulkifli Mat Zin dan Mohd Zafi Rahman Mat Saleh (memanah) serta Al Mustakim Matrin dan Nurul Amilin Balawi (pelayaran) akan turut mengambil bahagian.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment