Wednesday, July 25, 2012 | | By: Febi

Skuad badminton mula sesuai diri



SKUAD badminton negara mula menjalani latihan di Stadium Wembley, arena pertarungan badminton Olimpik yang akan membuka tirai saingan, Sabtu ini.

Selepas hampir 10 hari menjalani latihan fasa akhir di Universiti Bath, skuad badminton negara berpindah ke Hotel Wembley Plaza, penginapan di luar perkampungan sukan kerana lebih dekat dengan venue pertandingan.

Pemain badminton negara sudah dua kali menjalani latihan di Wembley namun tempoh masa sejam dirasakan tidak mencukupi untuk pemain negara.

“Pemain kita diperuntukkan satu sesi latihan sebelah petang di dewan latihan Arena Wembley dan termasuk hari ini (semalam), pemain kita sudah dua kali menggunakan gelanggang latihan rasmi itu,” kata pengurus pasukan badminton Olimpik, Ng Chin Chai yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Menurut Chin Chai, latihan di Arena Wembley itu tidak cukup sempurna, kerana rakan sepelatih yang dibawa tidak dibenarkan memasuki arena untuk berlatih bersama pemain Olimpik lain seperti Datuk Lee Chong Wei, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Tee Jing Yi.

“Kami menyewa sebuah dewan berdekatan iaitu Moberly Sport Centre untuk memastikan latihan mengikut perancangan asal. Pemain menjalani latihan selama dua sesi sehari, sesi pagi di luar Arena Wembley dan petang di gelanggang rasmi.” Menurut Chin Chai, atlet badminton negara yang menginap di perkampungan sukan berdepan kesukaran apabila lewat hadir ke gelanggang latihan kerana berlaku kesesakan hinggakan perjalanan memakan masa dua jam.

Sementara itu, semua atlet badminton negara diberitakan berada dalam ‘mood’ terbaik dan Chin Chai berkata, Chong Wei sudah berada di tahap normal apabila menjalani latihan keras seperti sebelum ini.

Semua pemain negara juga menghadiri majlis berbuka puasa dan makan malam bersama Yang DiPertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Hotel Hyatt Regency, London, malam tadi.



Oleh Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

0 comments:

Post a Comment