Tuesday, July 31, 2012 | | By: Febi

Pingat terus hampa

WAJAH kecewa Pandelela Rinong setelah menduduki tempat ketujuh keseluruhan bersama gandingannya Leong Mun Yee dalam acara 10 meter terjun seirama di Pusat Akuatik Olimpik di London, semalam. 
 
LONDON - Harapan untuk melihat pingat pertama negara daripada kolam renang terus kabur selepas gandingan Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee sekadar menduduki tempat ketujuh daripada lapan peserta yang bertanding, ketinggalan 59.88 mata dengan juara dunia dan Olimpik Chen Ruolin dan Wang Hao yang terus gah mengungguli acara terjun 10 meter platform wanita di Pusat Akuatik Olympic Park di sini, semalam.

Selepas bermula agak baik dalam dua terjunan awal, kedu-duanya gagal mengekalkan konsistensi untuk baki tiga terjunan berikutnya.

Turun sebagai pilihan ketujuh, Pandelela, 19 dan Mun Yee, 27, menghabiskan rutin lima terjunan dengan pecahan skor 52.80, 54.00, 70.20, 60.48 untuk mengumpul keseluruhan 308.52 mata, jauh bezanya dengan Ruolin-Hao yang mencatat 368.40 manakala pingat perak milik penerjun Mexico, Alejandra Orozco Loza dan Espinoza Sanchez (343.32) manakala gandingan Kanada, Roseline Filion dan Meaghan Benfeito (337.62) pulang gangsa.

Aksi semalam adalah yang kedua buat Pandelela selepas turut kecundang dalam acara 3 meter papan anjal berpasangan dengan Chen Cheong Jun Hoong.

"Saya tidak dapat melakukan dengan baik. Saya dapat rasakan kami melakukan kesilapan dalam terjunan ketiga. Ia tidak seperti apa yang dirancangkan.

"Saya berharap akan dapat melakukan yang terbaik dalam acara terakhir saya 10m platform selepas ini," katanya.

Mun Yee pula mengakui mereka melakukan kesilapan pada terjunan ketiga, keempat dan kelima . Ia tidak berapa bagus.

"Memang ada sedikit gementar namun keseragaman terjunan kami baik, tetapi tidak untuk yang lain.
''Jurulatih ada memberitahu jangan pedulikan terjunan lain dan berikan fokus kepada terjunan seterusnya," katanya, yang akan meneruskan pengajiannya yang tertangguh dan melihat kepada pencapaiannya selepas ini sebelum memutuskan mengenai karier terjunnya.

Kedua-dua pasangan ini pernah meraih pingat gangsa dalam Piala Dunia di Rome pada 2009. - UTUSAN

0 comments:

Post a Comment