Sunday, July 29, 2012 | | By: Febi

Pergerakan Bayi Tidak Jejas Persembahan Nur Suryani - Dr Ramlan

LONDON, 27 Julai (Bernama) -- Pergerakan bayi dalam kandungan Nur Suryani Mohd Taibi tidak akan menjejaskan persembahan penembak wanita tunggal negara itu semasa membuka saingan pada Sukan Olimpik di sini Sabtu.

Ketua Pegawai Ekesekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata Nur Suryani mampu mengendalikan keadaan itu memandangkan beliau memiliki pengalaman dalam beberapa pertandingan antarabangsa sebelum ini.

"Kandungan Nur Suryani kini melepasi lapan bulan. Adalah normal pada trimester ketiga ini, bayi dalam kandungan sudah banyak bergerak. Ini adalah perkara biasa bagi Nur Suryani, malah dia melepasi mata kelayakan ke Olimpik ketika mula mengandung," katanya kepada pemberita, di sini pada Jumaat.

Dr Ramlan berkata Nur Suryani dipantau oleh dua pakar ginekologi bagi memastikan penembak tersebut dan kandungannya sihat.

Mengenai pengambilan suplemen dan vitamin bagi wanita hamil, Dr Ramlan berkata bahan tersebut tidak akan menjejaskan ujian urinari Nur Suryani kerana kandungan bahannya tidak mengandungi bahan terlarang.

"Apa sahaja yang diambil oleh penembak itu harus menjalani ujian Therapeutic Use Exemption (TUE). Itu yang ISN jalankan. Cuma saya nasihatkan beliau untuk mendapatkan rehat yang secukupnya. Kalau nak berjalan pun secara ringan sahaja.

"Namun begitu, dia tidak boleh duduk sahaja, kena juga ada aktiviti ringan. Cuaca di sini tidak menentu sejuk dan panas, sukar dijangka," katanya.

Daripada Zulhilmi Supaat -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment