Sunday, July 29, 2012 | | By: Febi

Peng Kean ikut jejak Suryani

AKSI Peng Kean (kanan) ketika menentang Mannad pada pusingan pertama acara sabre individu Sukan Olimpik 2012 di South Hall ExCel, London semalam.


LONDON - Keletihan menjadi punca atlet lawan pedang negara, Yu Peng Kean gagal meneruskan kemaraan dalam acara sabre individu Sukan Olimpik 2012 di South Hall ExCel, London semalam.
Dia tersingkir di pusingan kedua selepas bertindak cemerlang melepasi pusingan pertama apabila menewaskan Zeid Mannad dari Mesir dengan keputusan 15-12.

Pada saingan pusingan kedua, dia tewas mudah 1-15 kepada atlet Hungary, Aron Szilagyi.
Dengan kekalahan tersebut, Peng Kean menjadi atlet kedua negara yang pulang awal ke tanah air selepas ratu menembak, Nur Suryani Mohamed Taibi.

"Saya sudah keletihan pada pusingan kedua. Mungkin disebabkan saya sudah banyak menggunakan tenaga pada aksi pusingan pertama.

"Lutut saya juga sudah mula goyah dan memberikan masalah. Saya juga terpaksa mengambil ubat penahan sakit sebelum pertandingan ini," kata Peng Kean merujuk kepada kecederaan lama lutut kirinya.

Dia mengakui bahawa pertemuan menentang Szilagyi memang sukar kerana lawannya terlalu agresif, selain menduduki ranking kelima dunia.

Peng Kean yang menduduki ranking ke-37 dunia hanya mampu memberi tentangan awal dengan mengikat kedudukan 1-1 sebelum aksi selepas itu dikuasai sepenuhnya oleh Szilagyi yang bukan sahaja pantas tapi bijak mengambil kesempatan daripada kesilapan peserta negara itu ketika melakukan serangan.

Peng Kean yang layak secara merit ke Sukan Olimpik 2012 London bagaimanapun tidak menghadapi masalah menundukkan Zeid yang berada di ranking ke-28 dunia di pusingan pertama.

Ketika menentang Zeid, Peng Kean menang set pertama 8-4 dan terus mendahului 10-8 apabila asakannya ke hujung platform menyaksikan Zeid terlentang jatuh kerana lutut terseliuh.
Selepas beberapa minit diberikan rawatan, peserta Mesir itu bangkit untuk meneruskan cabaran tetapi asakan berterusan Peng Kean membolehkannya meraih kemenangan 15-12.

Jurulatihnya yang berasal dari China, Rao Bin berkata, dia berpuas hati dengan persembahan anak didiknya itu ke atas Zeid tetapi tiada apa yang boleh dikatakan mengenai aksinya menentang Szilagyi pada pusingan kedua.

"Peserta Hungary terlalu kuat dan pantas. Dia bijak mengambil kesempatan terhadap kesilapan Peng Kean," katanya.



- KOSMO

0 comments:

Post a Comment