Monday, July 30, 2012 | | By: Febi

Pelayaran Kurang Lancar Bagi Khairulnizam Selepas Dua Perlumbaan


LONDON, 31 Julai (Bernama) -- Pelayar negara Khairulnizam Mohd Afendy gagal memperbaiki kedudukannya di perlumbaan kedua acara Laser Lelaki Sukan Olimpik 2012 apabila jatuh lima anak tangga daripada kedudukan ke-42 pada perlumbaan pertama Isnin.

Dalam acara yang berlangsung di perairan Weymouth dan Portland, Khairulnizam menduduki tempat ke-42 daripada 49 pelayar dengan 3.15 mata demerit pada perlumbaan pertama.

Pada perlumbaan kedua, pelayar negara itu turun di kedudukan ke-47 selepas mengumpul 4.20 mata demerit.

Mata demerit menunjukkan masa yang dicatatkan pelayar negara itu adalah ketinggalan daripada pendahulu perlumbaan.

Pelayar Australia, Tom Slingsby setakat ini mendahului acara tersebut dengan catatan masa 56 minit 25 saat.

Acara Laser Lelaki akan diteruskan selama empat hari lagi dengan dua perlumbaan diadakan setiap hari.

Pada hari terakhir perlumbaan itu, 10 pelayar terbaik dengan mata demerit yang kurang akan bersaing dalam pusingan penyingkiran bagi menentukan tiga pemenang teratas.

Daripada Zulhilmi Supaat -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment