Monday, July 30, 2012 | | By: Febi

Pandelela- Mun Yee buru peluang kedua

LONDON - Jangan lakukan kesilapan pada terjunan pertama kerana ia akan mempengaruhi keputusan juri untuk empat aksi seterusnya. 

Itu pesanan jurulatih skuad terjun negara Yang Zhuliang kepada Pandelela Rinong dan Leong Mung Yee yang akan beraksi memburu pingat pertama negara dalam acara platform 10 meter seirama di Pusat Akuatik Olympic Park hari ini.

Selepas kecewa dengan persembahan hambar Pandelela dan Cheong Jun Hoong dalam 3m seirama, kelmarin, Zhuliang menuntut anak-anak buahnya memperagakan kesempurnaan dalam terjunan pertama bagi mengelak pisang berbuah dua kali memandangkan acara ini turut disertai penyandang juara Olimpik dan Dunia dari China yang juga pilihan pertama, Chen Ruolin dan Wang Hao di samping penerjun terbaik dunia.

Diletakkan sebagai pilihan ketujuh dan acara final ini, Zhuliang berkata, Pandelela dan Mun Yee perlu memastikan disiplin pergerakan mereka sentiasa tepat dan seirama kerana dari situlah ia dapat menarik perhatian juri untuk pemberian markah seterusnya.

"Mereka perlu sempurna bagi memikat perhatian juri bagi terjunan pertama dan seterusnya," kata Zhuliang di sini, semalam.

Dalam pada itu, kekecewaan gandingannya dengan Cheong Jun Hoong tidak mematahkan semangat Pandelela untuk memburu pingat pertama negara bersama gandingan serasi Leong Mun.
Pandelela yang belum 'panas' semasa memperagakan aksi hambar bersama Jun Hong dalam acara 3m seirama, kelmarin meletakkan keyakinan tinggi untuk sebarang pingat sekiranya dia dan Mun Yee dapat mengurangkan kesilapan.

"Sekiranya saya dan Mun Yee dapat mengurangkan kesilapan mungkin kami boleh lakukan sesuatu," katanya mengulas aksi kedua hari ini pada temasya London 2012, hari ini.
Pencapaian terbaik bagi kedua-dua pasangan itu ialah mendapat pingat gangsa di Kejohanan Dunia di Rome 2009.

Dalam pada itu, pengurus skuad terjun, Tang Kwai Mae berkata, Pandelela dan Mun Yee cukup bersemangat untuk memulakan aksi memburu pingat hari ini meskipun tekanan mula dirasai kedua-dua pasangan itu.

''Kami berharap kedua-dua dapat melakukan yang terbaik pada aksi esok memandangkan kemampuan kesemua peserta yang mengambil bahagian adalah hampir sama," katanya.




- UTUSAN

0 comments:

Post a Comment