Sunday, July 29, 2012 | | By: Febi

Pandelela, Jun Hoong tempat tercorot

Pandelela Rinong (atas) dan Cheong Jun Hoong ketika beraksi dalam acara terjun seirama 3 meter papan anjal di Pusat Akuatik Olympic Park, London semalam. 
 
LONDON - Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong masih memerlukan lebih banyak masa dalam membentuk gandingan mantap pada masa hadapan selepas menduduki tangga tercorot dalam acara terjun seirama 3 meter papan anjal di pusat akuatik Olympic Park di sini, semalam.

Mereka yang baru digandingkan pada Februari tahun ini mencatat skor 283.50 mata, jauh lebih rendah daripada yang pernah dilakukan semasa kedua-duanya beraksi dalam Piala Dunia di London dan Grand Prix AS pada Mei lalu.

Dalam saingan semalam, penerjun China yang juga juara bertahan, Wu Minxia-He Zi meraih pingat emas selepas mengumpul 346.20 mata diikuti Amerika Syarikat (AS), Abigail Johnston-Kelci Bryant (321.90) untuk perak dan gangsa dari Kanada (316.80).

Jurulatih terjun, Yang Zhuliang berkata, kesilapan dalam terjunan pertama menyumbang kepada pungutan mata yang rendah walaupun mereka cuba bangkit pada terjunan keempat dengan mencatat skor 71.10 mata.

"Kesilapan pertama itu mungkin mempengaruhi juri untuk baki empat terjunan lagi. Bagaimanapun, Malaysia agak muda dalam acara ini sedangkan dalam pertandingan di Olimpik, peserta seharusnya terus bersedia. Apa pun mereka mempunyai masa yang panjang untuk memantapkan gandingan,'' katanya kepada wartawan di sini, semalam.

Pandelela mencatat 46.20 mata dalam terjunan dan seterusnya 47.40 dan 54.00 pada terjunan kedua dan ketiga serta bangkit dalam terjunan keempat dengan 71.10 mata sebelum menghabiskan rutin akhir 64.80 mata.

Sementara itu, Pandelela ketika ditemui mengakui melakukan kesilapan pada terjunan pertama apabila darjah ketinggian ketika mencecah air tidak berlaku serentak.
Kata Pandelela, dia tidak meletakkan sasaran dalam acara tersebut memandangkan baru digandingkan dengan Jun Hoong.

"Kami masih baru dan juri pun tidak kenal dengan kami lagi sedangkan peserta-peserta yang lain telah mencapai standard dunia. Saya agak kecewa sedikit kerana telah banyak melakukan latihan bersama. Namun, kegagalan ini tidak akan mempengaruhi persembahan saya dengan Leong Mun Yee dalam acara serentak 10 meter platform selepas ini.

"Jika saya dan Mun Yee dapat mengurangkan kesilapan peluang untuk mendapatkan pingat itu ada,'' ujarnya.

Sementara itu, Jun Hoong turut bersependapat dengan gandingannya itu bahawa mereka memerlukan lebih banyak masa untuk mendapatkan keserasian. - Utusan

0 comments:

Post a Comment