Sunday, July 29, 2012 | | By: Febi

Mexico Singkir Trio Malaysia




LONDON, 28 Julai (Bernama) -- Masalah gementar dan gugup terus menghantui trio pemanah negara apabila tersingkir dengan ketinggalan lima mata, 211-216 kepada Mexico dalam pusingan penyingkiran acara Recurve berpasukan lelaki di Sukan Olimpik 2012 di sini, Sabtu.

Pada pertandingan Padang Kriket Lord, segalanya seperti tidak menjadi kepada Cheng Chu Sian, Khairul Anuar Mohamad dan Haziq Kamaruddin yang tampak terjejas dengan sorakan penonton.

Hanya pada pusingan akhir, pemanah Malaysia mula menunjukkan keyakinan dengan melakukan tiga panahan yang mendapat mata penuh 10.

Ketua pemanah negara Cheng mengakui mata yang diperolehi merupakan kutipan peribadi terburuknya sepanjang tahun ini.

"Segalanya tidak menjadi. Kami gugup bila penonton mula bersorak kuat.

Konsentrasi hilang menyebabkan panahan kami tidak menepati sasaran," katanya kepada pemberita.

Sementara Khairul yang menyumbangkan mata terbanyak kepada trio Malaysia, biarpun kemudian hanya mampu meletakan negara di kedudukan ke-10 dalam acara penentuan ranking semalam, berkata mereka banyak melakukan kesilapan sendiri bila beraksi dalam suasana gementar.

"Semalam bila beraksi di sebelah pasukan Korea Selatan dalam acara penentuan ranking, kami agak gementar kerana terlalu menghormati kemampuan mereka.

"Hari ini, sorakan gemuruh penonton pula menyebabkan kami goyang," katanya.

Kekalahan kepada Mexico menyaksikan trio Malaysia terkeluar terus daripada acara itu namun peluang masih ada kepada mereka untuk membuktikan kemampuan melalui acara Recurve individu, bermula Ahad.

Pemanah wanita tunggal negara ke Sukan Olimpik, Nurul Syafikah Hashim terlebih dahulu tersingkir awal Jumaat selepas menduduki tangga ke-60 daripada 64 pemanah yang menyertai acara Recurve individu.

Daripada Zulhilmi Supaat -- BERNAMA




0 comments:

Post a Comment