Monday, July 23, 2012 | | By: Febi

Memburu emas sulung


AHMAD SARJI (kiri) bergurau seketika dengan Chong Wei sebelum berlepas ke London pada 12 Julai lalu.


TEMASYA Sukan Olimpik 2012 di London akan membuka tirai secara rasminya di Stadium Olimpik, United Kingdom, Jumaat ini.

Tumpuan lebih kurang 28 juta rakyat Malaysia sudah pasti akan terarah kepada acara badminton yang bakal berlangsung di Arena Wembley bermula Sabtu ini.

Sudah menjadi satu tradisi, acara badminton diletakkan sebagai sandaran utama kontinjen Malaysia untuk meraih pingat emas pada temasya terbesar di dunia itu.

Sejarah juga membuktikan bahawa badminton merupakan satu-satunya acara yang menyumbangkan pingat buat kontinjen Malaysia sejak mula mengambil bahagian pada Sukan Olimpik 1956 di Australia.

Buktinya, pasangan beregu negara, Razif Sidek-Jailani Sidek berjaya meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik 1992 di Barcelona sebelum gandingan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock memenangi pingat perak di Atlanta empat tahun kemudian.

Bekas jaguh perseorangan negara, Rashid Sidek turut tidak ketinggalan apabila menyumbangkan pingat gangsa di Atlanta.

Peluang terbaik bagi menyaksikan kilauan pingat emas pertama hadir menerusi jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing juga tidak berhasil selepas dia sekadar berpuas hati dengan pingat perak.

Justeru, temasya di London dilihat sebagai peluang terbaik bagi menebus segala kehampaan yang melanda jutaan peminat sukan tanah air sebelum ini.
Sudah pasti pingat emas menjadi buruan enam pemain badminton negara pada Sukan Olimpik 2012.
Enam pemain negara yang layak beraksi pada temasya kali ini diketuai oleh Chong Wei, beregu utama lelaki, Koo Kien Keat- Tan Boon Heong, beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan perseorangan wanita, Tee Jing Yi.

Berdasarkan situasi terkini keenam- enam pemain tersebut, kesemua mereka mempunyai skrip yang berbeza sepanjang persiapan bagi menghadapi temasya yang berlangsung empat tahun sekali itu.
Atas kertas, Chong Wei yang kini terlepas status selaku pemain No. 1 dunia kepada seteru utamanya, Lin Dan dari China tetap dilihat sebagai prospek utama negara bagi menjelmakan kilauan pingat emas.
Bagaimanapun, beberapa peristiwa malang yang menimpa pemain berusia 30 tahun itu sepanjang tahun ini dilihat sedikit sebanyak menjejaskan persiapannya bagi memburu pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia.

Detik malang Chong Wei bermula selepas dia mengalami kecederaan bahu kanan ketika aksi final Seluruh England 2012 menentang Lin Dan, Mac lalu.

Kecederaan itu telah menyebabkan dia terpaksa menarik diri dan sekali gus gagal dalam misi merekodkan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut selepas bergelar juara pada edisi 2010 dan 2011.
Belum sempat pulih sepenuhnya, Chong Wei sekali lagi menerima tamparan hebat apabila mengalami kecederaan pada bahagian buku lali kanan ketika beraksi pada kempen Piala Thomas di Wuhan, China.
Ketika itu, Sukan Olimpik 2012 hanya tinggal sebulan lebih lagi dan situasi itu jelas menghadirkan kebimbangan kepada peminat-peminat sukan tanah air yang sememangnya menaruh harapan kepada Chong Wei untuk merealisasikan impian memena- ngi pingat emas.

Bagaimanapun, bagi Razif Sidek yang me- rupakan bekas pakar beregu negara, Chong Wei tetap sandaran utama untuk membawa pulang pingat emas dan sekali gus mengharapkan keajaiban berlaku.
Razif berkata, seluruh rakyat Malaysia perlu meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Chong Wei.
"Memang sukar. Ketika ini, hanya Chong Wei sendiri tahu apa yang dia rasakan dan kita perlu terus memberi sokongan kepada pemain itu untuk melakukan yang terbaik demi negara," kata Razif ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Razif, Chong Wei perlu bijak bermain psikologi dengan dirinya sendiri.
"Psikologi sangat penting, apatah lagi beraksi pada Sukan Olimpik yang ternyata jauh berbeza dengan kejohanan-kejohanan lain. Jika Chong Wei mengatakan dirinya boleh, saya percaya sesuatu yang positif akan berhasil.

"Kita tahu bahawa Lin Dan adalah pesaing utama Chong Wei tetapi dia juga tidak boleh memandang mudah saingan daripada dua lagi pemain China, Chen Long dan Chen Jin. Malah, pemain-pemain negara lain juga mampu menjadi ancaman buat dirinya.

"Jadi, dia kena fokus dalam setiap perlawanan yang perlu diharunginya. Seperti yang saya katakan, psikologi itu penting. Ini kerana, hanya dirinya sahaja yang tahu dia boleh atau sebaliknya," jelas Razif.
Sementara itu, Kien Keat-Boon Heong pula berdepan jalan cerita yang berbeza sepanjang persiapan ke London.

Jika Chong Wei dilihat bergelut dengan masalah kecergasan ekoran kecederaan yang dialaminya, beregu lelaki negara itu pula tampil dengan prestasi ala yo-yo sepanjang saingan tahun ini.
Nasib malang ternyata menyelubungi karier Kien Keat-Boon Heong apabila masih gagal merekodkan sebarang kejuaraan dalam kejohanan-kejohanan utama.

Pencapaian terbaik mereka ialah mara ke peringkat separuh akhir Terbuka Indonesia 2012 bulan lalu.
Berdasarkan prestasi tidak menentu yang menghantui kedua-dua pemain itu, banyak pihak tidak meletakkan harapan tinggi kepada Kien Keat-Boon Heong biarpun sebe- lum ini mereka disebut-sebut antara prospek utama untuk meraih pingat emas.

Bagaimanapun, Razif ada pandangan tersendiri apabila menyentuh mengenai peluang bekas beregu No. 1 dunia itu pada Sukan Olimpik kali ini.

Razif berpendapat, apa yang menjadi masalah utama Kien Keat-Boon Heong adalah kedua-dua pemain itu mungkin tidak berkomunikasi dengan baik sebagai rakan segandingan.
Katanya, jika mereka sehati sejiwa, tidak mustahil pingat emas boleh dimenangi.

"Memang benar prestasi Kien Keat-Boon Heong sebelum ini agak merosot tetapi itu tidak boleh dijadikan ukuran. Ini kerana Sukan Olimpik merupakan kejohanan yang berbeza berbanding kejohanan lain.
"Saya percaya, jika mereka bersungguh- sungguh untuk memenangi pingat emas, sasaran itu boleh dicapai. Apa yang mereka perlu lakukan ialah cuba untuk mengurangkan kesilapan ketika dalam perlawanan.

"Sebab itu saya katakan bahawa mereka perlu banyak berkomunikasi antara satu sama lain. Mungkin kita tidak tahu apa sebenarnya punca kemerosotan prestasi Kien Keat-Boon Heong.
"Namun, pada pandangan saya, mereka ini sebenarnya mungkin ada perselisihan pendapat.
"Sebab itu, mereka perlu berbincang bagi menyelesai kannya dengan baik dan lupakan segala masalah bagi memberi tumpuan terhadap Sukan Olimpik," kata Razif.

Tambah beliau, Kien Keat-Boon Heong pernah membuktikan sebelum ini dengan menewaskan beregu-beregu terbaik dunia dan itu sudah pasti akan memberi pengala- man berguna buat mereka.
Empat gandingan terbaik dunia iaitu Chung Jae Sung-Lee Yong Dae dari Korea Selatan, Chai Yun-Fu Haifeng (China), Mathias Boe-Carsten Mogensen (Denmark) dan Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong (Korea Selatan) akan menjadi pesaing utama buat Kien Keat-Boon Heong dalam misi memburu pingat emas Sukan Olimpik.

Itu cerita Chong Wei dan Kien Keat-Boon Heong. Bagi Peng Soon-Liu Ying mereka juga ada cerita tersendiri.
Tampil sebagai beregu campuran pertama negara yang layak beraksi pada Sukan Olimpik selepas menduduki ranking No. 7 dunia, ia sudah kira satu kejayaan buat Peng Soon-Liu Ying.
Nama mereka mungkin tidak sehebat Chong Wei mahupun Kien Keat-Boon Heong, namun tidak keterlaluan jika dikatakan mereka juga berpotensi untuk sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa di bumi London nanti.

Ia berdasarkan peningkatan demi peningkatan yang dipamerkan beregu campuran negara itu dalam kejohanan-kejohanan tahun ini biarpun masih belum menampakkan konsistensi.
"Bagi saya, Peng Soon-Liu Ying sudah boleh dianggap berjaya kerana menjadi beregu campuran pertama Malaysia layak beraksi pada Sukan Olimpik.

"Begitupun, tidak ada yang mustahil bagi mereka untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik. Apa yang penting, mereka fokus dalam setiap perlawanan.

"Seperti yang saya katakan di awal tadi, mereka juga perlu bijak bermain psikologi dengan diri sendiri. Jangan kata tidak boleh, sebaliknya percaya bahawa mereka juga boleh menyumbangkan sesuatu kepada negara.

"Jika mereka mahu mengharumkan nama negara, inilah peluang terbaik bagi berbuat demikian iaitu ketika beraksi pada Sukan Olimpik," ujar Razif.
Dalam acara perseorangan wanita, tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai Jing Yi kerana masih banyak yang perlu diperbaikinya bagi memberi saingan kepada jaguh-jaguh dunia yang didominasi oleh barisan pemain China.

Mungkin Sukan Olimpik kali ini boleh di- jadikan medan untuk dirinya menimba pengalaman sebagai persediaan Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Dalam pada itu, Razif sempat memberi amaran kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) agar bertanggungjawab sekiranya para pemain negara gagal membawa pulang sebutir pingat emas dari London.

"Kita kena ingat, sasaran untuk acara badminton adalah memenangi pingat emas. Jadi, jika gagal, BAM perlu bertanggungjawab sepenuhnya tidak kiralah apa jua situasi sekalipun," tegas Razif.




Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment