Thursday, July 26, 2012 | | By: Febi

Media asing jejas fokus Suryani

Nur Suryani Mohamad Taibi menjalani latihan di London semalam, menjelang saingan acara 10 meter air rifle Sukan Olimpik, esok. - AGENSI
 
KUALA LUMPUR - Tumpuan penembak wanita negara, Nur Suryani Mohamed Taibi pada Sukan Olimpik 2012 agak terganggu sebaik sahaja tiba di kota London, Selasa lalu.

Pengurus pasukan menembak kebangsaan, Muzli Mustakim berkata, sebaik sahaja tiba Nur Suryani tidak putus-putus menjadi tumpuan media antarabangsa hingga menyebabkan penembak negara itu sukar untuk membuat persiapan akhir sebelum memulakan aksi dalam acara 10 meter Air Rifle yang akan berlangsung esok.

Tambah Muzli, sebab utama membuatkan Nur Suryani menjadi tumpuan bukan kerana mengandung tetapi disebabkan prestasi cemerlang atlet tersebut yang layak menyertai Olimpik secara merit penuh.
“Media asing tidak putus-putus mahu menemuramah Nur Suryani dan saya anggap ini sedikit sebanyak mampu mengganggu tumpuannya yang perlu lebih bersedia menjelang hari pertandingan nanti.

“Setakat ini Nur Suryani tidak mengadu mengalami apa-apa masalah kesihatan dan saya percaya mungkin dia mampu untuk melakukan kejutan," kata Muzli ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Nur Suryani adalah satu-satunya penembak negara yang layak ke Olimpik secara merit.
Pemenang pingat emas berganda Sukan SEA XXVI Indonesia itu meraih kuota dalam acara 10m air rifle menerusi Kejohanan Menembak Asia di Doha, Januari lalu.

Apa yang menarik perhatian Nur Suryani diberikan kebenaran untuk beraksi pada temasya berprestij itu dalam keadaan kandungan yang ketika ini mencecah lapan bulan.
Sementara itu, Muzli memberitahu persediaan Nur Suryani kini lebih tertumpu kepada persiapan mental.

“Bagi saya dengan kehadiran suami Nur Suryani, Marhazli Mhotar dapat juga memberikan sokongan moral yang tinggi buat dirinya tambahan pula apabila Nursuryani beraksi dalam keadaan sedang mengandung.

“Mengenai peluang untuk pingat, pesaing-pesaing yang ada semuanya sukar untuk diramal apa-apa pun kita tunggu sahaja pada hari pertandingan nanti," kata Muzli.



- UTUSAN

0 comments:

Post a Comment