Sunday, July 29, 2012 | | By: Febi

Letih sekat langkah Peng Kean



LONDON - Faktor keletihan menjadi punca atlet lawan pedang negara, Yu Peng Kean gagal meneruskan kemaraan dalam acara sabre individu di South Hall ExCel dekat sini, semalam.
Peng Kean ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pusingan kedua selepas cemerlang melepasi pusingan pertama menewaskan pemain Mesir, Zeid Mannad 15-12.

Bagaimanapun nasib malangnya hadir pada saingan pusingan kedua apabila tewas mudah 1-15 kepada atlet Hungary, Aron Szilagyi yang berkedudukan ke-5 dunia.
Kekalahan itu menjadikan Peng Kean atlet kedua negara yang pulang awal ke tanah air selepas penembak Nur Suryani Mohamed. Taibi.

"Saya keletihan pada pusingan kedua. Mungkin banyak menggunakan tenaga pada aksi pusingan pertama.

"Lutut saya mula goyah dan memberikan masalah.
"Saya juga terpaksa mengambil ubat penahan sakit sebelum turun ke gelanggang," katanya merujuk kepada kecederaan lama lutut kirinya.

Peng Kean mengakui menentang Szilagyi memang sukar kerana lawannya terlalu agresif.

Dia yang menduduki ranking ke-37 dunia hanya mampu memberi tentangan awal dengan mengikat kedudukan 1-1 sebelum aksi selepas itu dikuasai sepenuhnya oleh Szilagyi yang bukan sahaja pantas tapi bijak mengambil kesempatan daripada kesilapan peserta negara itu ketika melakukan serangan.
Peng Kean yang layak secara merit ke Sukan Olimpik 2012 London bagaimanapun tidak menghadapi masalah menundukkan Zeid yang berada di ranking ke-28 dunia di pusingan pertama.

Ketika menentang Zeid, Peng Kean menang set pertama 8-4 dan terus mendahului 10-8 apabila asakannya ke hujung platform menyaksikan Zeid terlentang jatuh kerana lutut terseliuh.
Selepas beberapa minit diberikan rawatan peserta Mesir itu bangkit untuk meneruskan cabaran tetapi asakan berterusan Peng Kean membolehkannya meraih kemenangan 15-12.

Sementara itu, jurulatih Peng Kean yang berasal dari China, Rao Bin berpuas hati dengan persembahan anak didiknya itu ke atas Zeid.



- UTUSAN

0 comments:

Post a Comment