Tuesday, July 31, 2012 | | By: Febi

Khairul Anuar Mara Ke Pusingan Ketiga


LONDON, 31 Julai (Bernama) -- Pemanah muda Khairul Anuar Mohamad menundukkan atlet senior negara Cheng Chu Sian sebelum menyingkirkan pemanah beranking lebih tinggi dari China, untuk menempah tempat ke pusingan ketiga acara perseorangan lelaki Recurve pada Olimpik London 2012 di sini, Selasa.

Pada acara yang berlangsung di Lord's Cricket Ground, Khairul Anuar mengutip 140 mata sementara Chu Sian 137, dalam pusingan pertama, sekali gus memberi mata kemenangan 6-4. Beliau meneruskan prestasi cemerlang menewaskan Xing Yu dari China dengan 6-5 pada pusingan kedua.

Kedua-dua pemain terpaksa melakukan panahan penentuan setelah terikat 2-2 selepas lima set.

Sekalipun kedua-dua atlet melakukan panahan pada mata sembilan, Khairul Anuar diisytihar pemenang kerana panahannya lebih hampir kepada garisan 10 mata berbanding pemanah China itu.

Beliau akan bertemu Larry Godfrey dari Great Britain pada pusingan ketiga Jumaat ini.

Mengikut peraturan baharu Persekutuan Memanah Antarabangsa (FITA), pemenang bukan sahaja ditentukan menerusi mata daripada panahan tetapi pemenang setiap lima set akan mendapat dua mata tambahan.

Mengulas pertemuannya dengan Chua Sian, Khairul Anuar berkata beliau menghormati pemain seniornya itu, namun untuk pertandingan bertaraf tinggi seperti Olimpik, hanya yang terbaik akan berjaya.

"Kami berdua berlatih bersama dan kami tahu prestasi masing-masing. Namun, saya fikir saya lebih tenang hari ini," katanya kepada pemberita selepas pertandingan.

Katanya selepas memenangi pusingan pertama, keyakinannnya bertambah.

"Walaupun pemanah China itu di ranking ke-13 dan saya ke ke-20, saya tahu saya akan dapat mengalahkannya," kata Khairul Anuar yang mahu lebih fokus apabila berdepan dengan atlet tuan rumah Jumaat ini.

Ketua kontinjen Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang turut hadir, berkata Khairul Anuar lebih berdaya saing hari ini dan kelihatan lebih tenang berbanding ketika acara berpasukan.

"Akan tetapi beliau mesti lebih fokus dan tidak membiarkan dirinya diganggu dengan sokongan penonton tempatan pada pertemuan dengan pemanah tuan rumah Jumaat ini," katanya.

Daripada Zulhilmi Supaat -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment