Tuesday, July 24, 2012 | | By: Febi

Jiwa kental Azizulhasni

AZIZULHASNI menunjukkan serpihan
kayu yang tertusuk di tubuhnya ketika beraksi di Cologne, Isnin lalu.


"SAYA tidak apa-apa dan saya adalah wira."
Itu kenyataan pelumba sensasi negara, Azizulhasni Awang dalam laman sosial Twitter miliknya semalam.

Azizulhasni mengeluarkan kenyataan itu bagi mengulas insiden kemalangan yang dialaminya ketika menyertai acara pecut dalam satu perlumbaan di Cologne, Jerman kelmarin.
Insiden malang tersebut menyebabkan lebih kurang 60 serpihan trek tertusuk di seluruh bahagian kiri tubuh pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu.

Apa yang berlaku ke atas Azizulhasni seolah-olah mengulangi insiden hitam yang dialaminya apabila serpihan trek sepanjang 20 sentimeter tertusuk di betis kaki kirinya ketika beraksi pada Siri Piala Dunia Klasik di Manchester, Februari tahun lalu.

Bagaimanapun Azizulhasni menjelaskan, peminat sukan tanah air tidak perlu bimbang dengan insiden terbaharu yang menimpanya biarpun mengalami kecederaan di bahagian tangan, paha dan bahu kanan.
"Terima kasih atas ucapan daripada anda semua. Kebimbangan saya sekarang bukanlah kecederaan yang dialami ini tetapi Olimpik," katanya menerusi laman Twitter.

Kenyataan terbaharu Azizulhasni itu pastinya melegakan kebimbangan jutaan peminat sukan tanah air yang kini berharap dia mampu menjelmakan kilauan emas pada temasya Olimpik 2012.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad meminta peminat Azizulhasni tidak risau dengan apa yang berlaku ke atas pelumba yang terkenal dengan jolokan The Pocketrocketman itu.

Menurut Naim, beliau sudah berjumpa dan melihat kecederaan yang dialami Azizulhasni sebaik saja tiba di Perkampungan Sukan Olimpik 2012 di London kelmarin.

"Hanya kecederaan ringan dan keadaan itu sering dialami (Azizulhasni). Jadi tiada yang perlu dibimbangkan," jelas Naim yang turut memberitahu skuad berbasikal negara diberi rehat sehari semalam.

Naim menambah, Azizulhasni akan kembali menjalani latihan seperti biasa mulai hari ini bersama rakan-rakan sepasukannya, Josiah Ng dan Fatehah Mustapa di Velopark London iaitu venue rasmi untuk acara trek Olimpik London.

"Mereka semua cukup bersemangat sebaik saja menjejakkan kaki di London, malah (tiga pelumba lebuh raya) Adiq Husainie Othman, Amir Mustafa Rusli dan Zamri Salleh sudah pun meninjau laluan bagi acara lebuh raya yang akan membuka tirai Sabtu ini," jelasnya.



Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment