Wednesday, July 25, 2012 | | By: Febi

Hup Wei tekad balas budi KOM


HUP WEI tampil pada Olimpik 2012 atas tiket wild card.



JAGUH lompat tinggi lelaki negara, Lee Hup Wei mahu segera melupakan kontroversi pemili- hannya beraksi pada Sukan Olimpik 2012 di London atas tiket wild card.

Tatkala tirai Olimpik 2012 disingkap secara rasmi hari ini, Hup Wei berazam membalas kepercayaan yang diberikan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOM) kepadanya.

“Pertama sekali, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada KOM kerana memberi peluang kepada saya beraksi pada Olimpik 2012 menerusi wild card.

“Saya akan balas kepercayaan KOM terutama Naib Presiden, Datuk R. Annamalai yang juga pengurus pasukan olahraga ke Sukan Olimpik dengan meraih keputusan terbaik,” kata Hup Wei kepada Kosmo! kelmarin.

Biarpun gagal melepasi catatan 2.28 meter iaitu had kelayakan Olimpik 2012 bagi kate- gori B, Hup Wei tetap mengintai peluang melakar kejutan di London nanti.

“Saya sedikit tertekan kerana pergi (ke London) secara wild card tetapi itu akan menjadi pembakar semangat bagi saya melakukan lompatan terbaik.
“Jika ada peluang, saya mahu memecahkan rekod kebangsaan milik saya sendiri, seterusnya layak ke pusingan akhir nanti,” jelas Hup Wei yang merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 2.27m.

Hup Wei melakukan catatan itu pada Kejohanan Olahraga Terbuka China 2008, sekali gus memecahkan rekod 13 tahun milik bekas atlet negara, Loo Kum Zee iaitu 2.24m.
Bagaimanapun, Hup Wei dibelenggu gelisah apabila menyedari catatan terbaiknya tahun ini ialah 2.21m yang dilaku- kan pada Kejohanan Litece di Jerman bulan lalu.

“Bagaimanapun, saya tetap mahu memandang positif pemilihan saya ke London. Saya hanya akan fokus kepada Sukan Olimpik nanti,” katanya yang ‘berguru’ selama tujuh minggu di Jerman dalam misi memburu tiket ke London.

Hup Wei akan berlepas ke London 30 Julai ini sebelum turun ke gelanggang pada 6 Ogos depan.
Selain Hup Wei, seorang lagi atlet olahraga negara yang beraksi atas tiket wild card ialah Noraseela Khalid yang akan tampil dalam acara 400m lari berpagar wanita.



Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment