Sunday, July 29, 2012 | | By: Febi

Gagal bawa hikmah pelumba lebuh raya kita ke Eropah

LONDON - Kecundang pada penyertaan sulung dalam acara berbasikal lebuh raya pada Sukan Olimpik, kelmarin sebenarnya ada rahmat di sebaliknya, apabila Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bercadang menempatkan pelumba-pelumba negara ke kelab profesional di Eropah.
Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim Mohamad menegaskan, cadangan itu adalah antara perancangan jangka masa antara tiga hingga empat tahun pihak persatuan dalam menyediakan pelumba-pelumba negara menimba pengalaman dalam saingan yang kompetitif khususnya di Eropah.

''Daripada penyertaan kali pertama semalam kita nampak banyak perbezaan pelumba kita dengan pelumba-pelumba dari negara lain yang antaranya jaguh-jaguh dunia. Ini telah menyedarkan kita untuk menyediakan satu pelan bagi memantapkan lagi persembahan mereka selepas ini.

''Kami akan menyusun semula perancangan jangka panjang antara tiga hingga empat tahun bagi pelumba-pelumba lebuh raya negara antaranya menempatkan mereka dengan pasukan pro di Eropah. Dari situ mereka akan menimba pengalaman perlumbaan lebih kompetitif.

"Apa pun saya bersyukur pelumba-pelumba kita layak ke Sukan Olimpik (Muhamad Adiq Husainie Othman dan Amir Mustafa Rusli). Perlumbaan dalam tahap Sukan Olimpik bukan mudah. Mereka berdiri bersama-sama 144 pelumba terbaik dunia dan cabarannya memang sengit," kata Naim ketika diminta mengulas persembahan Adiq dan Amir dalam perlumbaan, kelmarin.

Tidak diletakkan harapan menggunung, Adiq dan Amir tidak menamatkan perlumbaan kelmarin dan diarahkan keluar daripada laluan atas arahan marsyal perlumbaan selepas kedua-duanya ketinggalan 18 minit di belakang pendahulu ketika itu.

''Pelumba-pelumba kita masih muda seperti Muhamad Adiq Husainie Othman, Amir Mustafa Rusli dan Mohd. Harriff Salleh yang berpotensi besar dalam arena ini," ujarnya.

Dalam pada itu, peluang Malaysia untuk mengintai pingat belum tertutup dalam berbasikal kerana trek akan membuka tirai pada 4 Ogos ini membariskan pelumba sensasi Mohd. Azizulhasni Awang yang akan bertarung dalam acara pecut sebelum meneruskan saingan keirin tiga hari kemudian. - Utusan

0 comments:

Post a Comment