Monday, July 23, 2012 | | By: Febi

Chong Wei tempuhi laluan mudah

CHONG WEI menjadi sandaran utama Malaysia meraih pingat emas pada Sukan Olimpik 2012.


JAGUH perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mungkin boleh menarik nafas lega dalam misi memburu pingat emas pada Sukan Olimpik 2012 di London.

Berdasarkan undian yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam, Chong Wei dilihat berdepan laluan mudah untuk sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir.
Chong Wei yang diletakkan sebagai pemain pilihan pertama telah diundi dalam Kumpulan A dan hanya perlu menentang Ville Lang dari Finland.

Jika berjaya mara ke pusingan kedua, pemain No. 2 dunia itu diramal berdepan pemain Indonesia, Simon Santoso yang dijangka mudah bergelar juara Kumpulan B.
Pada peringkat suku akhir, Chong Wei dijangka menentang perseorangan Jepun, Kenichi Tago atau Nguyen Tien Minh dari Vietnam.

Bagaimanapun, Chong Wei akan berdepan cabaran getir apabila dijangka menen- tang bintang muda China, Chen Long jika layak ke peringkat separuh akhir sebelum bertemu seteru utamanya, Lin Dan yang juga dari China andai mara ke pentas final.

Ketika diminta mengulas mengenai undian tersebut, jurulatih negara, Tey Seu Bock tidak mahu Chong Wei memandang mudah pertemuan menentang Ville Lang.

"Kita harus ingat, mana-mana kejohanan sekalipun, perlawanan pertama adalah penting bagi setiap pemain dan begitu juga buat Chong Wei. Chong Wei sudah lama tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan dan pastinya perlawanan pertama kali ini getir buat dirinya.

"Berdasarkan undian, memang Chong Wei selaku pilihan untuk memenangi setiap perlawanannya. Namun, kita juga tidak boleh memandang mudah kemampuan lawan kerana mereka masih boleh mampu memberi tentangan kepada Chong Wei.

"Bagi saya, Chong Wei tidak perlu terlalu memikirkan mengenai peluang untuk mara ke peringkat separuh akhir atau final.

"Saya mahu dia fokus satu demi satu perlawanan yang perlu diharunginya," kata Seu Bock ketika dihubungi Kosmo! di United Kingdom semalam.

Sementara itu, tugas getir dijangka menanti beregu utama lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong apabila diundi dalam Kumpulan D bersama-sama pasangan No. 1 dunia, Chung Jae Sung-Lee Yong Dae dari Korea Selatan.

Turut berada dalam Kumpulan D ialah beregu Amerika Syarikat, Howard Bach-Tony Gunawan dan Naoki Kawamae-Shoji Sato dari Jepun.

Nasib yang sama turut dialami beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying apabila diundi dalam Kumpulan D bersama-sama pasangan No. 2 dunia, Xu Chen-Ma Jin dari China.
Beregu campuran Taiwan, Chen Hung Ling-Cheng Wan Hsing dan S. Prapaka- mol-S. Thoungthongkam dari Thailand turut berada dalam Kumpulan D.

Dalam pada itu, perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Bae Yeon Ju dari Korea Selatan dan Agnese Allegrini (Itali).

Berdasarkan format pertandingan, juara setiap kumpulan dalam acara perseorangan akan layak ke pusingan kedua manakala juara dan naib juara kumpulan acara beregu akan mara ke peringkat suku akhir.

Acara badminton Sukan Olimpik 2012 akan membuka tirainya di Arena Wembley, Sabtu ini.



Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

0 comments:

Post a Comment