Monday, July 30, 2012 | | By: Febi

Chong Wei Mulakan Cabaran Sebenar Malaysia Dalam Pemburuan Pingat Emas

LONDON, 31 Julai (Bernama) -- Walaupun tiada atlet Malaysia beraksi di pentas akhir pada Isnin, pencarian sebenar emas negara bermula dengan kejayaan Datuk Lee Chong Wei menumpaskan lawannya dalam usaha menukar warna pingat yang dimenanginya di Beijing pada 2008.

Chong Wei yang meraih pingat perak di Beijing dan pilihan utama di Olimpik 2012, bagaimanapun terpaksa bermain dalam rubber-set sebelum berjaya menjinakkan lawannya, Ville Lang dari Finland 21-8, 14-21, 21-11 dalam perlawanan Kumpulan A.

Kejayaan itu juga membolehkan Chong Wei yang sebelum ini mengalami kecederaan di buku lali kanan ketika Piala Thomas pada Mei lepas, menempah tiket ke peringkat suku akhir acara perseorangan lelaki.

Sementara pemain perseorangan wanita Tee Jing Yi mengalahkan pemain Itali Agnese Allegrini 21-7, 21-14.

Atlet memanah negara, Haziq Kamaruddin terlepas peluang ke pusingan kedua acara Recurve Individu Lelaki selepas ketinggalan cuma satu mata, 134-135 kepada Gankin Denis dari Kazakhstan.

Pelayar negara Khairulnizam Mohd Afendy gagal memperbaiki kedudukannya di perlumbaan kedua acara Laser Lelaki apabila jatuh lima anak tangga daripada kedudukan ke-42 pada perlumbaan pertama.

Dalam acara yang berlangsung di perairan Weymouth dan Portland, Khairulnizam menduduki tempat ke-42 daripada 49 pelayar dengan 3.15 mata demerit pada perlumbaan pertama.

Pada perlumbaan kedua, pelayar negara itu turun di kedudukan ke-47 selepas mengumpul 4.20 mata demerit dan sudah pasti mahu memperbaiki kedudukannya apabila perlumbaan itu disambung Selasa.

Pada hari keempat temasya Selasa, tumpuan kontinjen Malaysia terarah kepada acara terjun.

Gandingan Pandelela Rinong anak Pamg-Leong Mun Yee, salah satu sandaran Malaysia untuk menamatkan kemarau pingat emas, akan beraksi dalam acara akhir 10m platform berirama wanita.

Cheng Chu Sian akan memulakan cabaran dalam pusingan penyingkiran Recurve Lelaki Individu sementara pemanah tunggal wanita negara, Nurul Syafikah Hashim akan turut bersaing dalam acara Recurve Individu Wanita.

Daripada Zulhilmi Supaat -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment