Monday, July 23, 2012 | | By: Febi

Chong Wei dapat undian munasabah

KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei menyifatkan undian Sukan Olimpik yang diterima sebagai 'munasabah', walaupun berpotensi berdepan halangan sukar bintang muda China, Chen Long di separuh akhir dalam usaha mencari tiket final kedua berturut-turut.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 itu, membuka kempen dengan berdepan pemain Finland, Ville Lang juga bakal diuji jaguh Indonesia, Simon Santoso di pusingan kedua dan berpotensi bertemu bintang Jepun, Kenichi Tago atau jaguh Vietnam, Nguyen Tien Minh di suku akhir.

Undian pasangan utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula disifatkan ketua jurulatih beregu, Tan Kim Her sebagai 'memuaskan' biarpun diletak dalam kumpulan berliku bersama beregu No. 1 dunia, Chung Jae Sung-Lee Yong Dae dari Korea Selatan, bekas juara dunia, Howard Bach-Tony Gunawan dari Amerika Syarikat serta gandingan Jepun, Naoki Kawamae-Shoji Sato.

Pengalaman sulung beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying beraksi di Olimpik tidak menceriakan apabila menerima undian sukar dalam Kumpulan D bersama beregu No. 2 dunia, Xu Chen-Ma Jin dari China, beregu Taiwan, Chen Hung Ling-Cheng Wen Hsing dan pasangan Thailand, (Chn), Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam.

Hajat peminat untuk menyaksikan ulangan final Chong Wei-Lin Dan masih boleh menjadi kenyataan dengan syarat, Chong Wei, 29, berjaya melepasi halangan-halangan awal yang getir, terutama Cheng Long, yang merupakan pemain kedua paling banyak menewaskannya selepas Lin Dan.

Jika Lin Dan memegang kelebihan 20-9 ke atas Chong Wei, Chen Long pula menundukkan jaguh negara itu empat kali daripada 10 pertemuan, termasuk tiga kali pada 2011. Biarpun pertemuan terakhir berpihak kepada Chong Wei, namun perlawanan di Terbuka Malaysia, Januari lalu itu berlangsung sengit 21-18, 17-21, 21-13.




Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my

0 comments:

Post a Comment