Sunday, July 29, 2012 | | By: Febi

Azizulhasni Pelumba Utama Keirin Dan Pecut, Josiah Jadi Simpanan


LONDON, 27 Julai (Bernama) -- Menjelang acara Berbasikal yang akan bermula pada 4 Ogos ini, kem Malaysia melakukan kejutan dengan memilih pelumba sensasi negara Mohd Azizulhasni Awang sebagai pelumba utama bagi kedua-dua acara keirin dan pecut.

Sementara seorang lagi pelumba yang turut berpotensi untuk menyumbang pingat dari kedua-dua acara tersebut, Josiah Ng diletakkan sebagai pelumba simpanan bagi acara trek tersebut di Sukan Olimpik London.

Pengurus pasukan berbasikal Malaysia Datuk Naim Mohamad berkata, pemilihan Mohd Azizulhasni untuk kedua-dua acara itu dipersetujui bersama jurulatih negara dari Australia, John Beasley berdasarkan beberapa kriteria dan pencapaian semasa kedua-dua pelumba tersebut.

"Bagaimanapun, keputusan memilih Mohd Azizulhasni sebagai pelumba utama kedua-dua acara itu adalah keputusan awal dan akan dimuktamadkan sebelum hari pertandingan," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Acara berbasikal trek yang menjadi salah satu sandaran pingat bagi Malaysia dari kota London akan bermula pada 4 Ogos sebelum keirin pula bermula tiga hari kemudian.



Daripada Zulhilmi Supaat -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment