Tuesday, July 24, 2012 | | By: Febi

Azizul tetap yakin

Azizulhasni Awang
Azizulhasni Awang 
 
“SAYA ok kerana saya seorang hero. Selepas Spiderman, Batman kini giliran Pocketrocketman,” itu luahan keyakinan yang dilontarkan jaguh basikal negara, Azizulhasni Awang berhubung situasi terkininya.

Namun pelumba yang dikenali sebagai The Pocketrocketman mengharapkan doa rakyat Malaysia terus mengiringinya agar dia mampu melakarkan sejarah menghasilkan pingat emas pertama buat negara.

Kelmarin, kontinjen Olimpik negara dikejutkan dengan berita kecederaan pelumba kelahiran Terengganu itu apabila terbabit kemalangan ketika menyertai pertandingan di Jerman, sehingga mengakibatkan lebih 60 serpihan kayu tertusuk di badannya.

Episiod itu bagaikan mengulangi kejadian ngeri yang berlaku kepada pemenang pingat emas Sukan Asia, Sukan Komanwel New Dehli dalam acara keirin, tahun lalu apabila betis kakinya tertusuk kayu sepanjang 7 inci ketika menyertai siri klasik Piala Dunia di Manchester, England.

Azizul yang kini sudah tiba diperkampungan sukan di London, awal pagi semalam, mengucapkan jutaan terima kasih di atas kata-kata semangat yang diberikan kepadanya.

“Terima kasih semua. Saya harap rakyat Malaysia akan terus menyokong saya dan mendoakan kejayaan saya. Fokus saya adalah Olimpik dan bukannya kecederaan saya,” katanya.

Mengulas tahap prestasinya, Azizul berkata, kecederaan lalu sebenarnya memberi hikmah apabila fokus tidak lagi tertumpu kepadanya.

“’Kecederaan itu membuatkan saya tidak menyertai banyak pertandingan jadi lawan juga tidak tahu prestasi saya. Tumpuan juga tidak akan terarah kepada saya berbanding sebelum ini.
“Menjadi underdog dan terus kekalkan aksi konsisten, InysaAllah akan memberi kelebihan buat saya.

“Saya dah berlatih sebaik mungkin dan prestasi saya adalah yang terbaik untuk musim ini,” katanya.

Sementara itu, pengurus skuad basikal negara merangkap Timbalan Presiden Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad yang kini sudahpun berada di London turut memaklumkan bahawa keadaan jaguh negara itu langsung tidak membimbangkan.



Oleh Aida Adila Mat
aida@hmetro.com.my

0 comments:

Post a Comment