Sunday, July 29, 2012 | | By: Febi

Ahmad Sarji puji prestasi atlet menembak, lawan pedang

Ketua kontinjen negara ke Sukan Olimpik ke-30 di London, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid merasa optimis walaupun Malaysia masih tercari-cari emas pertamanya, prestasi beberapa atlet yang telah beraksi di peringkat akhir telah menunjukkan peningkatan peribadi mereka.

Beliau berkata masih terlalu awal untuk menilai prestasi sebenar kontinjen negara ketika temasya secara rasmi memasuki hari ketiga hari ini (Isnin), namun daripada lima acara akhir yang disertai atlet Malaysia sehingga kini, dua daripada mereka telah menunjukkan peningkatan.

"Dua acara akhir yang disertai atlet negara patut diberi pujian iaitu acara menembak dan lawan pedang kerana atlet terlibat menunjukkan peningkatan peribadi," katanya kepada Bernama.
  
Ahmad Sarji berkata penembak tunggal wanita negara, Nur Suryani Mohd Taibi telah berjaya menempatkan dirinya di kalangan 34 daripada 56 penembak terbaik dunia dalam acara 10m Air Rifle.
  
"Kedudukan itu akan menaikkan ranking dunianya dan bersedia untuk kejohanan seterusnya," katanya.
  
Beliau turut memuji prestasi atlet lawan pedang Yu Peng Kean yang kini menduduki ranking ke-37 dunia, namun dapat menewaskan lawan yang berada di kedudukan ke-28 iaitu Zeid Mannad dari Mesir dengan mata 15-12 di pusingan pertama acara Sabre Individu.

"Walaupun Peng Kean kemudiannya dijinakan Szilagyi Aron dari Hungary dengan mata 1-15, namun lawannya itu ternyata jauh lebih standard daripada atlet kita.

"Peng Kean menunjukkan prestasi membanggakan," katanya.
  
Selain acara menembak dan lawan pedang, acara lain yang melibatkan atlet Malaysia di peringkat akhir setakat ini ialah memanah (Recurve Lelaki Berpasukan), berbasikal lebuh raya lelaki (250km) dan terjun (3m papan anjal berirama wanita).

Namun cabaran trio pemanah lelaki negara (Cheng Chu Sian, Haziq Kamaruddin dan Khairul Anuar Mohamad) tersekat di pusingan kedua sementara pelumba berbasikal lebuh raya (Muhamad Adiq Husainie Othman dan Amir Mustafa Rusli)
diarahkan berhenti dari meneruskan perlumbaan selepas didapati ketinggalan 18 minit di belakang pendahulu perlumbaan.

Sementara Pandelela Rinong anak Pamg dan Cheong Jun Hoong dari acara terjun menduduki tangga tercorot daripada lapan negara yang layak beraksi di final acara 3m papan anjal berirama wanita.
  
Mengenai pencarian emas pertama Malaysia, Ahmad Sarji berkata acara yang disandar menghasilkan pingat tersebut seperti berbasikal (keirin) belum berlangsung.
  
"Begitu juga acara badminton.  Ada acara yang masih dan belum berlangsung," katanya yang merujuk kepada pemain perseorangan badminton nombor dua dunia, Datuk Lee Chong Wei yang hanya memulakan cabarannya lewat malam ini.
  
Ditanya sama ada wujud masalah disiplin yang melibatkan anggota kontinjen negara, Ahmad Sarji berkata sehingga kini segalanya berjalan lancar.

"Kesemua atlet Malaysia bersemangat tinggi untuk menamatkan pencarian emas pertama negara di temasya kali ini," katanya.

Sejak pertama kali menyertai Sukan Olimpik yang bermula pada 1956 di Melbourne, Australia, Malaysia masih belum memperoleh pingat emas pertamanya.

Sehingga kini, Malaysia hanya memperoleh empat pingat, dua perak dan dua gangsa yang kesemuanya dari acara badminton.

- Bernama

0 comments:

Post a Comment