Thursday, July 26, 2012 | | By: Febi

Agong Dan Permaisuri Berkenan Melawat Perkampungan Sukan Olimpik


LONDON, 27 Julai (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah pada Khamis petang berkenan berangkat melawat Perkampungan Atlet bagi Sukan Olimpik London 2012.

Turut mengiringi lawatan Seri Paduka berdua ialah Tunku Puteri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim.

Seri Paduka yang tiba di Perkampungan Sukan yang terletak di daerah Stratford pada pukul 3.15 petang waktu tempatan, meluangkan masa selama satu jam setengah termasuk melawat apartmen yang menempatkan anggota kontinjen Malaysia.

Ketua Kontinjen Malaysia Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid kemudian memberi penerangan kepada Seri Paduka mengenai penginapan atlet Malaysia serta kemudahan yang disediakan di perkampungan tersebut.

Turut menyambut keberangkatan baginda berdua ialah Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia Datuk Sieh Kok Chi, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Seri Zolkples Embong, Ketua Pengarah Institut Sukan Negara Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, kesemua pengurus pasukan serta beberapa atlet dari sukan terjun dan memanah.

Daripada Zulhilmi Supaat -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment