Sunday, July 22, 2012 | | By: Febi

Adiq, Amir cukup layak ke London

Adiq Husainie Othman menunjukkan prestasi memberangsangkan ketika beraksi dalam satu perlumbaan di Ninove, Belgium, Jumaat lalu. 
 
KUALA LUMPUR - Persediaan terakhir pelumba lebuh raya sebelum ke Sukan Olimpik 2012 London mendapat reaksi positif ketua jurulatih, John Beasley selepas Adiq Husainie Othman dan Amir Mustafa Ruslia beraksi dalam satu perlumbaan di Ninove, Belgium Jumaat lalu.

Menurut Beasley, dia begitu teruja dengan tindak balas yang diberikan oleh kedua-dua pelumba tersebut dan berbangga dengan prestasi mereka dalam perlumbaan sejauh 169 kilometer dalam laluan yang penuh teknikal.

"Saya telah berpesan kepada mereka untuk melihat apa yang mampu mereka lakukan dalam perlumbaan kali ini, selepas beberapa perlumbaan sebelum ini mempamerkan prestasi yang agak mengecewakan," katanya dalam satu kenyataan di akaun laman sosial, Facebook miliknya baru-baru ini.

Laluan perlumbaan tersebut begitu sempit dan berbukit ditambah pula dengan angin yang kuat dan hujan. Catatan purata kelajuan perlumbaan tersebut adalah 43.5 kilometer per jam, seramai 191 pelumba mengambil bahagian termasuk dari pasukan pro-tour seperti Rabobank, FDJ dan Lotto.
"Saya telah memberitahu mereka bahawa saya mahukan yang lebih baik daripada perlumbaan tersebut dan tidak akan bertolak-ansur jika gagal berbuat demikian.

"Kalau mereka tidak menamatkan perlumbaan, maka mereka kena berkayuh pulang ke kem latihan di Ghent sejauh 65 kilometer.

"Ia setidak-tidaknya memberikan keyakinan kepada mereka menjelang saingan sebenar di London dan bertanyakan kepada diri sendiri mampukah mereka menamatkan saingan 260 kilometer di Olimpik nanti. Seperti yang saya lihat hari ini mereka sudah cukup bagus dan berbaloi beraksi di sana," katanya.
Kata Beasley, dia sangat berpuas hati dengan kualiti kayuhan dan keberanian yang ditunjukkan oleh Adiq dan Amir, walaupun perlumbaan di Belgium itu adalah antara paling sukar setelah dijadikan persiapan menjelang saingan Olimpik.

Mengulas mengenai perlumbaan tersebut Beasley berkata, hujan menyebabkan kemalangan pada pusingan kedua ketika di zon pendakian, sekali gus menyaksikan pelumba terpecah kepada tiga bahagian.

Kumpulan pendahulu mengandungi 29 pelumba, manakala Adiq dan Amir berada di kelompok kedua.
Kumpulan pendahulu menjarakkan perlumbaan kepada tiga minit sehingga tamat saingan, manakala pelumba kita beraksi baik tatkala kumpulan pendesak itu menjadi semakin mengecil selepas beberapa pusingan.

"Strategi saya ialah mahu melihat mereka menamatkan perlumbaan dan berusaha sedaya upaya untuk mendekati kelompok depan, namun mereka dilihat sukar berdepan dengan keadaan angin yang kuat dan jalan berbonggol.

"Sebelum ini dalam beberapa perlumbaan mereka mencatatkan keputusan yang mengecewakan saya tidak kisah untuk berterus-terang kerana tidak ada benda yang positif untuk diletakkan dalam laporan ini," katanya.

Acara lebuh raya Olimpik akan bermula Sabtu ini menyaksikan 145 pelumba mengambil bahagian.

 - UTUSAN

0 comments:

Post a Comment