Thursday, July 26, 2012 | | By: Febi

Adiq, Amir cabar jaguh dunia


KUALA LUMPUR - Tidak diletakkan harapan tinggi, tetapi peluang yang diperolehi Adiq Husainie Othman dan Amir Mustafa Rusli amat berharga apabila bersaing bersama pelumba lebuh raya handalan dunia dalam acara berbasikal lebuh raya lelaki Sukan Olimpik 2012 London awal pagi esok.

Tepat pukul 5 petang esok (waktu Malaysia) dua pelumba kelahiran Terengganu ini akan memikul cabaran dalam acara yang turut disertai beberapa pelumba handalan dunia seperti Tom Boonen (Belgium), Fabian Cancellara (Switzerland), Mark Cavendish (Britain), Cadel Evans (Australia) dan pemenang jersi kuning Tour de France tahun ini, Bradley Wiggins (Britain).

Bagi Adiq, dia begitu gembira dapat menyarung jersi kebangsaan di Olimpik kerana pengorbanan dan penat lelahnya dalam saingan musim ini dan musim lalu sangat berbaloi tambahan pula dapat beraksi bersama idolanya, Wiggins.

“Saya berjanji akan melakukan yang terbaik. Lagi pun saya sudah membuat persiapan untuk Olimpik ini dari awal tahun lagi.

“Saya berharap saya dapat melakukan sesuatu yang dapat menggembirakan rakyat Malaysia," katanya kepada Utusan Malaysia melalui laman sosial, Facebook.

Jelas pelumba yang beraksi dengan pasukan Champion System itu, dia tidak mahu hadir di London hanya sekadar untuk mengambil bahagian setelah melakukan persediaan terbaik dengan menyertai hampir 50 perlumbaan di Asia, Eropah dan Amerika Utara.

Sementara itu Amir yang sekarang ini bersama pasukan benua, Drapac Professional Cycling berkata, persediaan terakhir mereka berjalan lancar walaupun semua pelumba yang mengambil bahagian berdepan dengan masalah cuaca panas.

“Hari ini (semalam) kami mengadakan perbincangan dan telah berlatih serta meninjau di laluan perlumbaan sebenar termasuk di zon pendakian, Box Hill," kata pelumba berusia 25 tahun itu.
Perlumbaan melibatkan jarak sejauh 250 kilometer, di mana mereka akan bermula di The Mall di London melalui beberapa bandar utama seperti Sunbury, Weybridge, Woodham, Ockham sebelum mengelilingi Box Hill di Westhumble sebanyak sembilan kali sebelum kembali semula di The Mall untuk menamatkan saingan.



Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

0 comments:

Post a Comment